Kata-kata

"Jika ada sebutir pasir, jadikan ia mutiara", "Jika ada segengam tanah, jadikan ia gunung", "Jika ada setitis air, jadikan ia lautan","Jika ada satu huruf, jadikan ia ayat", "Jika ada sepotong ayat, jadikan ia azimat".

Friday, 19 September 2014

Kemahiran Berbahasa

Pengenalan
Kemahiran berbahasa meliputi kemahiran mendengar, bertutur, dan menulis. Kemahiran berbahasa ini merupakan teras kepada penguasaan bahasa baku. Penguasaan kesemua kemahiran ini amat penting dalam proses pengajaran dan pempelajaran supaya berjalan dengan lancar dan berkesan. Kemahiran bahasa yang berhubung dengan kemahiran lisan melibatkan dua komponen asas, iaitu mendengar dan bertutur. Kedua-dua komponen ini berkait rapat dan saling melengkapi. Kemahiran membaca dan menulis pula merupakan kemahiran bukan lisan. Penguasaan terhadap ketiga-tiga kemahiran berbahasa ini penting terhadap murid-murid dalam memastikan input yang diberikan kepada murid-murid adalah sejajar dengan apa yang dikehendaki. Selain itu, kita juga akan melihat apakah yang disebutkan dengan kemahiran bernilai tambah sebagai pengetahuan tambahan dalam menghasilkan kualiti pengajaran yang tinggi dan berkesan. Bagi memastikan pengetahuan terhadap kemahiran bernilai tambah ini benar-benar diperolehi dan dikuasai, pelaksanaan amali pengajaran menggunakan kemahiran ini akan dilaksanakan. Akhirnya pula, berdasarkan kepada pengetahuan terhadap ketiga-tiga kemahiran berbahasa yang kita bincangkan sebelumnya, kita akan memilih salah satu daripada kemahiran tersebut dalam mengajar murid-murid yang mempunyai masalah pembelajaran.

Konsep bertutur
            Merupakan aktiviti yang melafazkan oleh penutur hasil gabungan daripada bunyi-bunyi bahasa yang dilafazkan. Aktiviti bertutur ini berlaku di peringkat produksi.  la berlaku setelah si penutur itu dapat mendengar dan memahami dengan baik apa yang didengarnya. Individu banyak belajar bertutur melalui pengalaman daripada kecerdasan otaknya. Kemahiran bertutur turut dipengaruhi aspek fizikal, kesihatan, persekitaran, dan jantina. Individu boleh menguasai kemahiran bertutur dengan baik sekiranya memberi tumpuan penuh terhadap aspek fonologi, struktur ayat, intonansi dan penguasaan terhadap system bunyi yang lain. Kemahiran bertutur dengan sempurna melibatkan keupayaan seseorang itu berkata-kata atau bercakap. Selain itu, penutur boleh menutarakan pendapat dan dan perasaan mengikut bunyi bahasa yang berbeza dan bermakna. Akhirnya, seseorang itu terlibat dengan aktiviti melafazkan kata-kata untuk tujuan berkomunikasi.

Kemahiran Bertutur

            Bertutur merupakan satu cara berkomunikasi yang kompleks dan melibatkan proses mental yang menggerakkan alat pertuturan untuk mengeluarkan bunyi bahasa yang bermakna. Di samping penghasilan bunyi bahasa, seseorang itu akan menggunakan unsur-unsur prosodi dan cara paralinguistik semasa bertutur bagi menguatkan maksud pertuturan. Unsur prosodi ialah intonasi, nada, tekanan, sebutan dan jeda. Manakala unsur para linguistik ialah bahasa isyarat dan pergerakan badan. Bertutur ialah kegiatan melafazkan bunyi-bunyi yang dilahirkan daripada alat-alat sebutan atau dikenali juga sebagai artikulator. Bertutur merupakan kemahiran berinteraksi dalam suasana berbahasa dan berlaku pada peringkat produksi. Oleh sebab itu, individu yang menjadi pendengar haruslah pendengar yang baik yang membolehkan pelajar-pelajar bertutur secara berkesan.

 Aspek-Aspek Pertuturan Kemahiran Bertutur
Bahasa pertuturan melibatkan pelbagai aspek. Antara yang penting adalah sebutan intonasi, tekanan, jeda, mora, dan sebagainya. Berikut diperlihatkan aspek- aspek tersebut secara ringkas .

Sebutan
Dalam aspek sebutan murid-murid diajar mengenal dan membunyikan setiap huruf, suku kata, perkataan, frasa kata dan ayat. Dalam hal ini, murid-murid diajar menyebut dan membunyikan suku kata dan perkataan dengan jelas dan tepat mengikut kaedah bunyi, sebutan dan maknanya. Aspek ini penting, terutamanya melibatkan perkataan yang mempunyai ejaan yang sama tetapi kaedah sebutan dan makna yang berlainan seperti semak, boleh dibunyikan sebagai /semak/ dan /sǝmak/ dan seumpamanya.

Tekanan
Tekanan merujuk kepada cara dan bagaimana penutur menyebut dan memberi tekanan kepada sama ada suku kata, perkataan atau rangkai kata tertentu bagi tujuan menegaskan sama ada keras atau lembutnya sesuatu pengucapan.

Jeda
Unsur ini merujuk kepada aspek persendian yang memisahkan elemen-elemen linguistik dalam perkataan, rangkai kata atau ayat. Dalam ayat, jeda digunakan sebagai hentian sementara yang boleh membezakan makna jika unsur ini digunakan. Misalnya ungkapan, ‘jangan tembak,’ jika tidak menggunakan jeda bermaksud larangan melepaskan tembakkan, sebaliknya jika jeda digunakan, ‘jangan/tembak,’ bermaksud menangguhkan seketika dan kemudiannya melepaskan tembakkan!

Intonasi
Intonasi merujuk kepada kedaan sama ada dilafazkan secara menurun atau menaik sesuatu. Intonasi dalam ayat sama ada menaik, menurun atau mendatar berbeza-beza mengikut jenis ayat. Misalnya, ayat tanya biasanya mempunyai intonasi menaik, manakala ayat penyata mempunyai intonasi menurun di hujung ayat.

Nada
Nada merujuk kepada keadaan bunyi sama ada menaik atau menurun ketika sesuatu perkataan itu disebut. Dalam muzik misalnya terdapat lapan nada: Do, Re, Mi, Fa, So, La, Ti dan Do – setiap nada mewakili satu suku kata. Pun demikian dalam bahasa Melayu, nada tidak bersifat fonemik berbanding dengan bahasa Cina, kewujudannya lebih jelas.

Tatabahasa
Aspek tatabahasa merujuk kepada aturan, formula, kaedah dan tatacara menentukan hukum dalam berbahasa – meliputi bidang fonologi, sintaksis dan semantik. Aspek tatabahasa dalam pertuturan kerap kali tidak diberatkan berbanding dalam aktiviti penulisan. Walau bagaimanapun untuk memperoleh kebiasaan yang baik dan kesan yang mendalam dalam pengucapan, aspek tatabahasa perlu diguna pakai sebaik-baiknya.

Kelancaran
 Aspek kelancaran menegaskan perihal dan keupayaan murid bertutur dengan baik, teratur dan kemas tanpa gangguan/tersekat. Ini banyak dipengaruhi dan ditentukan oleh tahap penguasaan dan kecekapan berbahasa dalam kalangan murid-murid.

Kefasihan
Aspek kefasihan menentukan bukan sahaja murid boleh bertutur dengan baik, lancar dan berkesan, sebaliknya boleh membunyikan kata atau menyebut perkataan dalam ayat dengan jelas, betul dan betul;

Laras bahasa
Aspek laras bahasa dalam konteks ini menegaskan kemahiran murid-murid menggunakan bahasa dalam konteks yang situasi, keadaan dan disiplin ilmu berlainan. Ini penting bagi tujuan mempastikan murid-murid boleh berkomunikasi secara berkesan.

Wednesday, 3 September 2014

Pengenalan Kebudayaan dan Kesusasteraan Melayu

ADAT RESAM  MASYARAKAT MELAYU
Kelahiran
Anak atau zuriat adalah suatu kurniaan Tuhan yang tidak ternilai bagi setiap pasangan suami isteri. Bagi masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam, adalah dipercayai setiap anak yang dilahirkan mempunyai rezekinya masing-masing, justeru itu setiap kelahiran itu perlu disyukuri. Dalam aspek kelahiran ini, masyarakat Melayu banyak mengamalkan adat-adat tertentu yang diwarisi sejak turun temurun. Ia merangkumi peringkat sewaktu mengandung, bersalin dan selepas lahir.
 Melenggang Perut (Sewaktu Mengandung)

Adat ini juga dipanggil Kirim Perut oleh masyarakat Melayu di bahagian utara Semenanjung Malaysia dan di sesetengah tempat dikenali sebagai Mandi Tian. Upacara ini dilakukan kepada wanita yang mengandung anak sulung ketika kandungan berusia dalam lingkungan tujuh atau lapan bulan. Ia dijalankan oleh seorang bidan untuk membuang geruh atau kecelakaan yang mungkin menimpa wanita hamil yang bakal bersalin dan bagi membetulkan kedudukan bayi di dalam perut.
Peralatan untuk upacara ini termasuk
v  Tujuh helai kain dengan tujuh warna berlainan
v  Segantang beras
v  Sebiji kelapa
v  Beberapa urat benang mentah
Damar
v  Minyak kelapa atau minyak urut
v  Lilin
v  Tepak sirih yang lengkap isinya
v  Pengeras sebanyak RM1.25
Pada permulaannya bidan akan membacakan jampi mentera dan mengandam wanita hamil tadi. Tepung tawar dicalit ke mukanya dan beras kunyit ditabur.
Seterusnya adat mandi sintuk limau dan air buyung dilakukan. Sebiji telur diselitkan di kain basahan iaitu di bahagian perutnya dan sebuah cermin kecil dibawa bersama. Wanita itu didudukkan di atas kerusi di mana pada kaki kerusi itu ditambat seekor ayam. Kemudian air buyung dijiruskan ke badannya manakala telur tadi dilepaskan atau dijatuhkan dengan kepercayaan ia akan memudahkan wanita tadi bersalin.
Setelah membersihkan badan, wanita itu bercermin muka dengan harapan anak yang bakal lahir nanti mempunyai rupa paras yang cantik. Setelah acara itu selesai bidan akan membentangkan ketujuh-tujuh helai kain berbentuk melintang sehelai di atas sehelai yang lain. Ibu yang hamil dibaringkan di atas lapisan kain-kain tersebut. Bidan akan mengurut ibu yang hamil dengan menggunakan minyak kelapa atau minyak urut. Bidan mengambil buah kelapa yang telah dibersihkan lalu menggulingkannya perlahan-lahan di atas perut terus ke hujung kakinya sebanyak tujuh kali. Adalah dipercayai sekiranya kelapa berhenti bergolek dengan matanya ke atas, anak yang dikandungnya adalah lelaki dan perempuan jika sebaliknya. Akhirnya bidan akan melenggangkan setiap helai kain tersebut pada perut  wanita hamil itu. Mengikut adatnya, kain yang di bawah sekali diberikan kepada bidan beserta dengan peralatan upacara tadi. Lazimnya pada hari tersebut, kenduri doa selamat akan diadakan dan ibu yang menjalani upacara ini dipakaikan dengan pakaian baru. Adalah dipercayai adat ini mengandungi unsur-unsur budaya Hindu.
 Sewaktu Bersalin
Apabila hampir tiba waktu bersalin, persediaan akan diuruskan oleh keluarga berkenaan. Mengikut kebiasaannya kandungan ketika itu sudah cukup sembilan bulan sepuluh hari. Tetapi adakalanya tempoh kehamilan boleh mencapai sehingga sepuluh hingga dua belas bulan yang dipanggil bunting kerbau. Mengikut kepercayaannya juga daun mengkuang berduri akan digantung di bawah rumah dan kapur akan dipangkah pada tempat-tempat tertentu di dalam rumah wanita yang hendak bersalin tadi bagi mengelakkan gangguan makhluk halus. Di samping itu juga, terdapat beberapa adat yang perlu dijalankan semasa menyambut kelahiran ini.
Potong Tali Pusat
Sejurus selepas bayi lahir, bidan akan menyambutnya dengan jampi dan serapah lalu disemburkan dengan daun sirih. Selepas bayi dibersihkan, tali pusatnya akan dipotong dengan menggunakan sembilu buluh dan dialas di atas sekeping wang perak satu ringgit. Di sesetengah tempat tali pusat dipotong menggunakan cincin emas. Baki tali pusat di perut bayi akan dibubuh kunyit dan kapur lalu dibungkus dengan daun sirih yang telah dilayukan di atas bara api sehinggalah tali pusat itu tanggal sendiri. 

v  Azan/Qamat
         Kelazimannya bayi lelaki akan diazankan di kedua-dua belah telinganya manakala bayi perempuan akan diqamatkan. Biasanya, bapa atau datuk bayi tersebut akan melakukan upacara ini. Ia bukanlah satu adat, sebaliknya lebih merupakan amalan berunsur keagamaan.
Membelah/Mulut
Adat ini mempunyai pengaruh budaya Hindu, namun demikian ia juga terdapat dalam agama Islam yang menghukumkan sunat untuk berbuat demikian. Upacara bermula dengan membacakan surah Al-Fatihah dan surah Al-Ikhlas. Ia diikuti dengan langkah mencecap atau merasakan sedikit air madu atau kurma dan ada juga yang menggunakan emas yang dicelupkan ke dalam air pinang pada mulut bayi yang baru lahir tersebut. Sewaktu menjalankan upacara ini, jampi mentera dibacakan. Namun demikian, adat ini sudah tidak diamalkan lagi oleh masyarakat Melayu hari ini.
   Berpantang
Dalam masyarakat Melayu, wanita yang telah bersalin mesti menjalani masa berpantang yang bermaksud larangan. Sekiranya wanita tersebut melanggar pantang, mereka akan mengalami bentan atau sakit sampingan. Tempoh berpantang lazimnya berlangsung selama empat puluh empat hari dikira dari hari mula bersalin dan ada juga yang berpantang selama seratus hari.
   Bertungku
 Selama berpantang mereka diberi makan ubat-ubat tradisi dan bertungku. Bertungku dipercayai dapat membantu perut wanita bersalin kembali normal.   Biasanya tungku diperbuat dari batu yang dipanaskan di atas bara. Kemudian tungku itu dibalut dengan kain yang di lapik dengan beberapa helai daun yang tebal seperti daun lengkuas yang dipercayai dapat mengimbangi kepanasan tungku di samping berfungsi sebagai ubat.
Tungku akan dituam pada bahagian perut dan bahagian lain bertujuan untuk mengatasi masalah kesakitan selepas bersalin. Selesai bertungku, si ibu akan menyapu perutnya dengan air limau yang dicampur dengan kapur sebelum memakai bengkung. Amalan berbengkung ini bertujuan untuk mengatasi perut buncit atau pinggul yang turun selepas bersalin di samping memberi keselesaan kepada wanita selepas bersalin.
     Selepas lahir
         Selepas kelahiran terdapat beberapa adat tertentu yang dijalankan.
v  Tanggal Pusat/Cuci Lantai
Lazimnya bayi yang baru lahir akan tanggal pusatnya dalam tempoh seminggu. Pada ketika itu, adat cuci lantai akan diadakan. Di sesetengah tempat, ia juga dipanggil adat naik buai kerana selagi bayi itu belum tanggal pusatnya, dia tidak boleh dibuaikan dan akan tidur di samping ibunya. Adat ini seelok-eloknya dilakukan pada hari Isnin atau Khamis.

Bahan-bahan yang digunakan untuk adat cuci lantai.
v  Nasi kunyit dan lauk-lauk
v  Seekor ayam hidup
v  Paku, buah keras, asam, garam dan sirih pinang
v  Hadiah untuk bidan sepersalinan
Kenduri doa selamat akan diadakan pada permulaan adat ini. Selepas itu bidan akan memulakan jampi serapahnya sambil memegang ayam dengan cara mengais-ngaiskan kaki ayam ke atas lantai tempat wanita itu bersalin. Seterusnya lantai itu akan dibersihkan. Mak bidan akan menjalankan keseluruhan upacara ini. Sebelum itu, si ibu dan si bayi akan dimandikan, diurut dan dibedak. Selesai upacara tersebut, bahan yang digunakan tadi beserta sedikit wang akan dihadiahkan kepada bidan tersebut.  
Memberi Nama
Mengikut ajaran Islam, adalah sunat memberi nama yang mempunyai maksud yang baik kepada bayi. Kebiasaannya jika bayi itu lelaki, nama akan diberi mengikut nama para nabi manakala untuk bayi perempuan, nama isteri-isteri atau anak-anak nabi akan dipilih.
Cukur Rambut/ Potong Jambul
Adat ini dilakukan pada hari ketujuh selepas dilahirkan. Ia turut dipanggil adat potong jambul. Kenduri nasi kunyit dan doa selamat diadakan pada hari tersebut.
Untuk menjalankan upacara tersebut beberapa kelengkapan disediakan.
 v  Sebuah dulang berisi tiga mangkuk atau piring yang berisi air tepung tawar,beras  kunyit dan bertih.
v  Sebiji kelapa muda dipotong bahagian kepalanya dengan potongan berkelok-kelok siku seluang untuk dijadikan penutup. Airnya dibuang dan diganti dengan sedikit air sejuk. Kemudian kelapa itu diletakkan di dalam sebiji batil. Biasanya kelapa itu dihias, umpamanya dengan melilitkan rantai emas atau perak di kelillingnya.   

 j4ambul-gunting
Pada hari itu, bayi dipakaikan dengan pakaian cantik dan diletakkan di atas talam yang dialas dengan tilam kecil atau didukung oleh bapa atau datuknya. Si bayi seterusnya dibawa ke tengah majlis dan disambut oleh hadirin lelaki sambil berselawat. Si bayi akan ditepung tawar serta ditabur beras kunyit dan bertih. Para hadirin secara bergilir-gilir akan menggunting sedikit rambut  bayi tersebut dan dimasukkan ke dalam kelapa tadi.
Bilangan orang yang menggunting rambut bayi tersebut hendaklah dalam bilangan yang ganjil, iaitu tiga, lima, tujuh dan seterusnya. Setelah selesai pihak lelaki menjalankan acara menggunting, pihak perempuan pula mengambil alih. Setelah selesai kedua-dua pihak menjalankan adat bercukur barulah kepala bayi tersebut dicukur sepenuhnya oleh bidan atau sesiapa sahaja yang boleh melakukannya. Kesemua rambut yang dicukur akan dimasukkan ke dalam kelapa. Akhirnya kelapa tersebut di tanam di sekitar halaman rumah bersama sepohon anak kelapa atau seumpamanya sebagai memperingati masa anak itu dilahirkan. 
Lazimnya, semasa adat ini dijalankan akikah turut     diadakan. Dari segi syarak, akikah membawa         pengertian menyembelih ternakan pada hari ke tujuh selepas anak dilahirkan. Orang Islam yang berkemampuan disunatkan menyembelih ternakan seperti kambing, lembu atau kerbau sebagai akikah anak yang baru lahir. Seorang anak disunatkan berakikah sekali sahaja seumur hidup. Terdapat syarat-syarat tertentu dalam memilih haiwan untuk akikah dan jumlah ternakan untuk akikah juga berbeza mengikut jantina bayi. Bagi bayi lelaki akikahnya ialah dua  ekor kambing dan seekor kambing bagi bayi perempuan. Antara hikmah akikah adalah sebagai permulaan kebajikan dan kebaikan bagi pihak bayi tersebut. Akikah sunat dilakukan pada hari ke tujuh kelahiran iaitu boleh dijalankan serentak dengan adat mencukur rambut dan adat memberi nama. Namun ia juga boleh dilakukan pada hari yang lain.
Naik Buai 
buaian_baby
Semasa upacara ini dijalankan bayi tersebut akan diletakkan di dalam buaian yang menggunakan kain songket atau batik dan dihias indah dengan bunga-bungaan. Selendang akan diikat di kiri kanan buaian dan ditarik perlahan-lahan semasa upacara berlangsung. Ketika itu juga, nazam atau marhaban akan dialunkan oleh sekumpulan lelaki atau wanita. Seterusnya bunga telur dan bunga rampai akan dihadiahkan kepada kumpulan ini. Pada hari ini, masyarakat Melayu menjalankan adat ini serentak dengan adat memberi nama dan adat cukur rambut.

 Bersunat / Berkhatan
 Adat bersunat bagi bayi perempuan lazimnya   dilakukan ketika bayi itu masih kecil iaitu beberapa hari selepas dilahirkan. Namun demikian, kebanyakan kanak-kanak perempuan akan menjalani upacara ini sekurang-kurangnya ketika berumur setahun atau lebih. Adat ini akan dijalankan oleh bidan. Bagi kanak-kanak lelaki, mereka akan menjalani adat bersunat atau juga dipanggil berkhatan ketika umur mereka dalam lingkungan 8 hingga 12 tahun. Adat berkhatan akan dijalankan oleh Tok Mudim. Di dalam ajaran Islam, bersunat atau berkhatan adalah wajib kerana Islam menitikberatkan kesucian lahir dan batin. Di samping itu juga,ia baik dari segi kesihatan. Majlis bersunat kanak-kanak perempuan tidak semeriah majlis berkhatan kanak-kanak lelaki dan ada juga yang menjalankannya serentak dengan majlis perkahwinan.

Sejarah Perkembangan Bahasa Melayu

Sejarah Perkembangan dan Asal Usul Bahasa Melayu

1. Untuk mengetahui asal usul Bahasa Melayu kita perlu mengetahui asal usul penutur aslinya terlebih dahulu, iaitu orang Melayu. Asal usul bangsa Melayu sehingga kini masih kabur tetapi beberapa sarjana Eropah seperti Hendrik Kern (Belanda) dan Robert von Heine Geldern (Austria) telah melakukan penyelidikan secara kasar tentang latar belakang dan pergerakan masyarakat Melayu kuno.

2. Teori mereka menyatakan bahawa bangsa Melayu berasal daripada kelompok Austronesia, iaitu kelompok manusia yang berasal dari daerah Yunan di China yang kemudiannya berhijrah dalam bentuk beberapa gelombang pergerakan manusia dan akhirnya menduduki wilayah Asia Tenggara.

3. Gelombang pertama dikenali sebagai Melayu-Proto dan berlaku kira-kira 2500 tahun Sebelum Masehi


4. Kira-kira tahun 1500 tahun Sebelum Masehi, datang pula gelombang kedua yang dikenali sebagai Melayu-Deutro. Mereka mendiami daerah-daerah yang subur di pinggir pantai dan tanah lembah Asia Tenggara. Kehadiran mereka ini menyebabkan orang-orang Melayu-Proto seperti orang-orang Jakun, Mahmeri, Jahut, Temuan, Biduanda dan beberapa kelompok kecil yang lain berpindah ke kawasan hutan dan pedalaman. Golongan Melayu-Deutro ini dikatakan nenek moyang masyarakat Melayu yang ada pada masa kini.


5. Bahasa Melayu berasal daripada rumpun bahasa Austronesia, manakala bahasa-bahasa Austronesia ini berasal daripada keluarga bahasa Austris. Selain daripada rumpun bahasa Austronesia, terdapat rumpun bahasa Austro-Asia dan rumpun bahasa Tibet-Cina.

6. Ahli bahasa telah membahagikan perkembangan bahasa Melayu kepada tiga tahap utama iaitu:
a. Bahasa Melayu Kuno,
b. Bahasa Melayu Klasik
c. Bahasa Melayu Moden.


Bahasa Melayu Kuno


1. Bahasa Melayu tergolong dalam keluarga bahasa Nusantara di bawah golongan bahasa Sumatera. Bahasa Melayu kuno digunakan pada abad ke-7 hingga abad ke-13 pada zaman kerajaan Sriwijaya. pada waktu itu, BM kuno telah menjadi lingua franca dan bahasa pentadbiran kerana sifat bahasa Melayu yang bersifat sederhana dan mudah menerima pengaruh luar. Bahasa Melayu juga tidak terikat kepada perbezaan susun lapis masyarakat dan mempunyai sistem yang lebih mudah berbanding dengan bahasa Jawa.

2. Oleh sebab agama Hindu menjadi pegangan orang Melayu ketika itu, bahasa Melayu banyak dipengaruhi oleh sistem bahasa Sanskrit yang menyumbang kepada pengayaan kosa kata dan ciri-ciri keilmuaan (kesarjanaan) Bahasa Melayu. Bahasa Sanskrit dianggap sebagai bahasa sarjana dan digunakan oleh bangsawan. Bahasa Melayu juga mudah dilentur mengikut keadaan dan keperluan.

3. Bukti penggunaan Bahasa Melayu kuno boleh dilihat pada batu-batu bersurat abad ke-7 yang ditulis dengan huruf Palawa iaitu:
a. Batu bersurat di Kedukan Bukit, Palembang (683 M)
b. Batu bersurat di Talang Ruwo, dekat Palembang (684 M)
c. Batu bersurat di Kota Kampur, Pulau Bangka (686 M)
d. Batu bersurat di Karang Brahi, Meringin, daerah Hulu Jambi (686 M)

4. Berpandukan isinya, penulisan di batu bersurat tersebut dibuat atas arahan raja Srivijaya, sebuah kerajaan yang mempunyai empayar meliputi Sumatera, Jawa, Semenanjung Tanah Melayu, Segenting Kra dan Sri Lanka. Oleh itu, ini menunjukkan bahawa Bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa rasmi dan bahasa pentadbiran kerajaan Srivijaya, sekaligus meluaskan penyebaran Bahasa Melayu ke tanah jajahan takluknya . Walaupun bahasa pada batu bersurat itu masih berbahasa Sanskrit, akan tetapi masih terdapat pengaruh Bahasa Melayu Kuno di dalamnya.


5. Istilah “Melayu” timbul buat pertama kali dalam tulisan Cina pada tahun 644 dan 645 Masehi. Tulisan ini menyebut mengenai orang “Mo-Lo-Yue” yang mengirimkan utusan ke Negeri China untuk mempersembahkan hasil-hasil bumi keada Raja China. Letaknya kerajaan “Mo-Lo-Yue” ini tidak dapat dipastikan tetapi ada yang mencatatkan di Semenanjung Tanah Melayu dan di Jambi, Sumatera.

Bahasa Melayu Klasik

1. Abad ke –13 merupakan waktu bermulanya zaman peralihan di Kepulauan Melayu dengan berkembangnya agama Islam ke rantau ini. Ini telah mempengaruhi bangsa dan bahasa di sini, terutamanya bangsa dan bahasa Melayu. Pengaruh India sedikit demi sedikit mula digantikan dengan pengaruh Islam dan Arab. Kegemilangannya bahasa Melayu klasik boleh dibahagikan kepada tiga zaman penting iaitu zaman kerajaan Melaka, zaman kerajaan Acheh dan zaman kerajaan Johor-Riau

2. Zaman penting bagi Bahasa Melayu ialah pada zaman Kerajaan Melayu Melaka. Kerajaan Melayu Melaka yang telah menerima Islam dan berjaya membina empayar yang luas telah dapat meningkatkan kemajuan dan perkembangan Bahasa Melayu di rantau ini. Bahasa Melayu telah digunakan dalam pentadbiran dan aktiviti perdagangan serta menjadi “lingua franca” para pedagang. Bahasa Melayu juga telah menjadi alat penyebaran agama Islam ke seluruh Kepulauan Melayu. Bahasa Melayu telah mendapat bentuk tulisan baru iaitu tulisan Jawi. Perbendaharaan kata juga telah bertambah dengan wujudnya keperluan untuk mengungkapkan idea-idea yang dibawa oleh peradaban Islam. Keagungan Kesultanan Melaka jelas tergambar di dalam “Sejarah Melayu” oleh Tun Seri Lanang, sebuah karya dalam Bahasa Melayu yang sangat tinggi nilainya.

3. Kedatangan orang-orang Eropah dan kejatuhan Kesultanan Melaka ke tangan Portugis pada tahun1511 masehi tidak menamatkan pengaruh Bahasa Melayu. Ramai di antara mereka yang menjalankan penyelidikan dan menyimpan catatan mengenai bahasa dan kesusasteraan Melayu. Beberapa contoh usaha mereka ialah :

a. Pigafetta, seorang ketua kelasi berbangsa Itali dalam pelayarannya bersama Magellan, telah menyusun kamus Melayu-Itali semasa singgah di Pulau Tidore pada tahun 1521. Kamus ini merupakan daftar kata daripada bahasa yang dituturkan oleh orang-orang di pelabuhan itu dengan lebih 400 patah perkataan dan merupakan daftar kata Melayu-Eropah yang tertua. Kedudukan Pulau Tidore yang terletak jauh daripada tempat asal Bahasa Melayu menggambarkan betapa luasnya Bahasa Melayu tersebar. 

b. Jan Hugen Van Linschotten, seorang bangsa Belanda pernah tinggal di Indonesia antara tahun 1586 hingga 1592 dan berkhidmat sebagai pegawai kepada pemerintah Portugis. Beliau ada mencatatkan dalam bukunya bahawa Bahasa Melayu dianggap sebagai bahasa yang paling dihormati antara bahasa-bahasa negeri timur.


c. Pada awal abad ke-18, Francios Valentijn, seorang pendeta dan ahli sejarah bangsa Belanda yang banyak menulis menganai wilayah Kepulauan Melayu, telah menggambarkan kepentingan Bahasa Melayu seperti berikut :
Bahasa mereka, Bahasa Melayu, bukan sahaja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh Kepulauan Melayu dan di segala negeri-negeri Timur, sebagai suatu bahasa yang difahami di mana-mana sahaja oleh setiap orang.”




Ciri-ciri bahasa Melayu klasik:

1. Ayatnya panjang, berulang, berbelit-belit dan banyak menggunakan struktur ayat pasif.
2. Menggunakan bahasa istana: contoh tuanku, baginda, bersiram, mangkat dsb.
3. Kosa kata arkaik dan jarang digunakan ; ratna mutu manikam, edan kesmaran (mabuk asmara), sahaya, masyghul (bersedih) 
4. Banyak menggunakan perdu perkataan (kata pangkal ayat): sebermula, alkisah, hatta, adapun.
5. Banyak menggunakan ayat songsang: pendepanan predikat
6. Banyak menggunakan partikel “pun’ dan `lah’


Perkembangan Bahasa Melayu Moden
Description: http://4.bp.blogspot.com/_6HpH7X8N2aI/SRERKoCCHEI/AAAAAAAAAbU/15UeBq0rVy0/s320/abdullah.jpg
1. Bahasa Melayu moden dikatakan bermula pada abad ke-19. Hasil karangan Munsyi Abdullah dianggap sebagai permulaan zaman bahasa Melayu moden kerana sifatnya yang dikatakan agak menyimpang dengan bentuk bahasa Melayu klasik. Sebelum penjajahan British, bahasa Melayu mencapai kedudukan yang tinggi, berfungsi sebagai bahasa perantaraan, pentadbiran, kesusasteraan, dan bahasa pengantar di pusat pendidikan Islam.


2. Selepas Perang Dunia Kedua, British merubah dasar menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan.

3. Semasa Malaysia mencapai kemerdekaan, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menyebut bahawa, “Bahasa Kebangsaan negara ini adalah Bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukan dengan undang-undang Parlimen”. 

4. Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 menetapkan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa rasmi negara (bahasa yang digunakan dalam semua urusan rasmi kerajaan persekutuan, negeri, tempatan dan badan berkanun).


5. Laporan Razak 1956 mencadangkan agar bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara dan menjadi alat utama perpaduan antara kaum.