Kata-kata

"Jika ada sebutir pasir, jadikan ia mutiara", "Jika ada segengam tanah, jadikan ia gunung", "Jika ada setitis air, jadikan ia lautan","Jika ada satu huruf, jadikan ia ayat", "Jika ada sepotong ayat, jadikan ia azimat".

Monday, 21 March 2016

KEBUDAYAAN MELAYU

1.0  PENGENALAN

Kepelbagaian kaum yang dapat dilihat di Negara Malaysia turut disajikan dengan kepelbagaian agama, adat, bahasa dan budaya. 3 etnik utama di Malaysia, iaitu Melayu, Cina dan India sering kali mempersembahkan budaya dan adat mereka apabila tiba musim perayaan yang disambut diseluruh Negara. Masyarakat Melayu yang sememangnya menjadi etnik majoriti di Malaysia turut terkenal dengan kepelbagaian budaya, adat resam dan perayaan. Budaya masyarakat Melayu telah diperturunkan dari generasi ke generasi bagi memastikan kelangsungan budaya tersebut tanpa tenggelam ditelan zaman. Disamping itu, kesedaran masyarakat Melayu mengenai kepentingan budaya masih lagi tinggi dan masih ada lagi masyarakat Melayu yang mengamalkan, bukan sahaja secara kecil-kecilan, malah secara besar-besaran dan dapat dilihat serta diketahui oleh kaum lain. Namun, disebalik kesedaran yang masih tinggi dalam usaha mengekalkan budaya dan adat tersebut, terdapat juga budaya yang berubah mengikut zaman dan juga berubah supaya tidak bertentang dengan ajaran agama Islam. Kebudayaan Melayu juga turut menjadi amalan hidup seharian seperti menghormati orang yang lebih tua, makan menggunakan tangan, bersalam mencium tangan orang yang lebih tua dan sebagainya.

2.0  KEBUDAYAAN MELAYU

Kebudayaan merupakan tamadun sesuatu masyarakat yang diwarisi daripada satu generasi kepada generasi yang berikutnya. Kebudayaan ini bersifat dinamik dan mempunyai ciri menerima dan menolak. Kebudayaan Melayu merujuk kepada keseluruhan sistem kehidupan yang dipraktikkan oleh masyarakat Melayu. Dalamnya terkandung unsur sosial, kepercayaan, sistem simbol, unsur teknologi, ekonomi dan organisasi yang menjadi milik bersama masyarakat Melayu. Jika dilihat budaya Melayu dalam konteks negara Malaysia, ia merupakan sebahagian besar inti pati budaya Malaysia itu sendiri. Kebudayaan Melayu boleh ditakrifkan sebagai cara hidup kumpulan manusia atau masyarakat orang Melayu. Cara hidup sukar difahami kecuali melalui kebudayaan masyarakat tersebut. Budaya dapat membezakan masyarakat Melayu dengan masyarakat lain. Dalam konteks sosiologi, budaya Melayu bermaksud cara hidup yang menjadi kepunyaan bersama kalangan orang Melayu.

2.1  Konsep Budaya

Budaya berasal daripada akar kata yang tersusun daripada dua perkataan yang terpisah, iaitu budi dan daya. Budaya boleh difahamkan sebagai segala penghasilan masyarakat manusia dalam pelbagai bentuk, sama ada yang dapat dilihat atau tidak. Konsep budaya merupakan satu konsep yang penting untuk membandingkan perbezaan antara satu masyarakat dengan masyarakat yang lain.
Merujuk kepada takrifan lain, Siti Hajar (2008) menyatakan budaya berasal daripada perkataan Sanskrit, buddhayah, iaitu bentuk jamak daripada perkataan budhi yang bermaksud budi atau akal. Dengan itu, kebudayaan dapat diertikan sebagai segala kegiatan manusia yang bersangkutan dengan budi dan akal. Budaya juga ditakrifkan sebagai warisan sosial sesuatu masyarakat, sistem idea, nilai, kepercayaan, pengetahuan, norma, dan amalan yang dikongsi bersama oleh semua orang dalam masyarakat. Contohnya baju kurung merupakan baju tradisional masyarakat melayu namun apabila apabila seorang gadis memakai baju kurung dan bertudung ianya dianggap sopan (Abdul Rahman, 2004). Masyarakat berbudaya harus mampu memanifestasikan perkembangan  idea, adat resam, dan imaginasi yang akan memenuhi keperluan dan matlamat. Sesuatu budaya itu dinamis sifatnya, yakni berubah mengikut peredaran zaman dan perlakuan manusia yang merintis pembaharuan. Pembaharuan dalam budaya manusia mendatangkan kesan negetif dan positif. Budaya Melayu adalah dinamis dan sentiasa berkembang dari satu zaman ke satu zaman secara bersambungan.
Justeru, dapat disimpulkan bahawa istilah kebudayaan merujuk kepada dua proses utama, iaitu dalaman dan luaran. Proses dalaman bersumberkan budi ataupun kecerdikan akal yang menjana proses luaran yang berteraskan daya ataupun tenaga manusia sebagai momentum dalam mengatur urusan kehidupan harian bermasyarakat. Kebudayaan ialah hasil interpretasi akal manusia dalam memenuhi keperluan dan aktiviti seharian manusia. budaya melibatkan 3 proses yang berbeza mengikut perubahan persekitaran dan zaman. Proses-proses ini mewujudkan budaya, bahasa dan adat yang berbeza berbanding dengan yang asal. Antara proses-proses budaya ialah Akulturasi, Asimilasi dan Akomodasi.

2.1.1      Akulturasi
Akulturasi ialah suatu proses sosial iaitu suatu kelompok manusia dengan kebudayaan tertentu dihadapkan dengan unsur daripada suatu kebudayaan asing. Kebudayaan asing itu lambat laun diterima dan diolah  dalam kebudayaannya sendiri tanpa menyebabkan hilangnya unsur kebudayaan kelompok itu sendiri. Dalam sejarah tamadun manusia, sering berlaku pertemuan atau pertembungan antara dua atau lebih kebudayaan. Proses ini menyebabkan berlakunya proses pinjam-meminjam. Pada peringkat awal, unsur pinjaman digunakan secara langsung dan kemudian diolah serta dijadikan unsur kebudayaan sendiri. Tetapi, jika unsur budaya yang diambil itu tidak diolah dengan baik, pastinya tindakan ini akan memberi kesan yang tidak baik kepada sesuatu masyarakat. Tidak mudah untuk membentuk suatu masyarakat yang mencapai tahap akulturasi. Akulturasi lebih mudah dicapai apabila melibatkan budaya bersifat kebendaan yang mendatangkan manfaat. Unsur-unsur budaya yang tidak berbentuk kebendaan seperti ideologi dan pemikiran adalah lebih sukar diterima.

2.1.2      Asimilasi
Asimilasi merupakan satu proses percantuman dan penyatuan antara kumpulan etnik berlainan budaya sehingga membentuk satu kelompok dengan kebudayaan dan identiti yang sama. Di Malaysia, masyarakat Cina Kelantan, Baba dan Nyonya merupakan contoh berlakunya proses asimilasi. Namun, bagi etnik cina di Kelantan serta Baba dan Nyonya, asimilasi berlaku dalam konteks budaya tanpa melibatkan anutan, kepercayaan atau agama. Proses asimilasi berlaku apabila wujudnya interaksi yang erat antara ahli kumpulan etnik berbeza budaya bagi suatu tempoh yang lama. Kejayaan asimilasi umumnya bergantung pada kesanggupan etnik minoriti menghilangkan identiti mereka dan menerima identiti kumpulan etnik majoriti.
2.1.3      Akomodasi
Akomodasi merupakan proses yang menyebabkan setiap kumpulan etnik menyedari serta menghormati norma dan nilai kumpulan etnik lain dan tetap mempertahankan budaya hidup masing-masing. Pelbagai kumpulan etnik  hidup secara harmonis dan menghormati antara satu sama lain. Pada peringkat pemerintahan kerajaan, setiap kumpulan etnik mempunyai wakil dalam bidang ekonomi dan pendidikan dan mereka saling bergantung. Konsep ini begitu meluas diamalkan di Malaysia kerana setiap kumpulan etnik bebas mengamalkan budaya mereka dalam keadaan harmoni

2.2  Konsep Masyarakat

Menurut Ralph Linton (1936), beliau mendefinisikan masyarakat iaitu, “Masyarakat ialah kelompok manusia yang hidup dan bekerjasama sehingga mereka dapat mengorientasikan dirinya dan berfikir mengenai dirinya sebagai kesatuan sosial yang mempunyai batas-batas tertentu”.
Seterusnya, Harry L. Shapiro, Man, Culture and Society (1960) pula berkata, masyarakat ialah manusia yang hidup dalam suatu kelompok dan bekerjasama antara satu dengan yang lain. Masyarakat juga terdiri daripada lelaki, perempuan dan kanak-kanak. Masyarakat wujud dari satu generasi ke satu generasi di samping mewariskan unsur-unsur tradisi.

Manakala, Lucy Mair (1965) berpendapat, “Masyarakat adalah suatu gagasan yang mengandung manusia yang berhubung bersama secara kolektif melalui hak dan obligasi yang saling mengiktiraf”.

Koentjaraningrat (1970) pula menyatakan bahawa, “Masyarakat adalah suatu kelompok manusia yang hidup dan bekerjasama sehingga mereka dapat mengorientasikan dirinya dan berfikir mengenai dirinya sebagai kesatuan sosial yang mempunyai batas-batas tertentu”.

Selain itu, Atan Long (1980) menyatakan bahawa, “Satu-satu masyarakat itu terdiri daripada individu yang telah hidup dengan saling bertindak semenjak beberapa lama dengan mempunyai kebudayaan yang merupakan keseluruhan cara hidup yang meliputi kepercayaan, agama, sikap, pandangan hidup, aspirasi, nilai dan ilmu pengetahuan yang telah diwarisi semenjak turun-temurun sehingga menjadikan kumpulan masyarakat itu mempunyai sifat yang tersendiri berlainan daripada masyarakat yang lain”.

Secara umumnya, masyarakat bermaksud sekelompok orang yang membentuk sebuah sistem hubungan sosial. Sebahagian besar interaksi yang berlaku dalam lingkungan sistem sosial itu adalah lahir daripada individu-individu yang berada dalam kelompok tersebut. Umumnya, istilah masyarakat pada asasnya merujuk kepada sekumpulan manusia yang hidup bersama di suatu tempat tertentu dalam satu komuniti yang teratur.

2.3  Politik

Sudut politik yang mempengaruhi dalam kebudayaan Melayu ialah sistem pemerintahan beraja seperti yang kita dapat lihat di Negara Malaysia pada hari ini. Sistem politik ini dipercayai dibawa oleh zaman kesultanan Melayu Melaka iaitu Parameswara yang bertapak di Melaka seawall abad ke-15 Masihi lagi. Pemerintahan dapat didefinisikan sebagai institusi yang menggubal dasar dan peraturan serta melaksanakan keputusan-keputusan yang berkaitan dengan kepentingan awam.Terdapat pelbagai bentuk sistem pemerintahan dalam tamadun awal dunia yang bertujuan mengurus serta mentadbir sesebuah negara,menegakkan undang-undang negara,menegakkan undang-undang dan perpaduan rakyat. Sistem pemerintahan beraja merupakan sistem pemerintahan yang terawal dalam tamadun dunia. Pemerintahan beraja boleh dibahagikan kepada pemerintahan berpusat dan wilayah.  
Selain itu, adat dalam sesebuah etnik di Malaysia turut mengamalkan system pemerintahan. Sebagai contoh, majoriti kaum Melayu di Malaysia mengamalkan Adat Temenggung yang lebih berpihak kepada kaum lelaki. Berbeza pula dengan Negeri Sembilan yang mengamalkan Adat Pepatih iaitu pemberatan kepada kaum perempuan kerana mengikut jurai keturunan iaitu ibu yang melahirkan anak. Adat Temenggung ini bersifat autokrasi iaitu berkuasa mutlak dalam pemilihan pemimpin dan anak lelaki sebagai pewaris takhta. Sekiranya seseorang Sultan itu tidak mempunyai anak lelaki, maka takhta akan diberikan kepada adik lelaki. Manakala Adat Pepatih pula bersifat demokrasi iaitu melalui pemilihan. kuasa dibahagi dari bawah ke atas iaitu dari Perut, Buapak, Lembaga dan Undang. Pemilihan ketua dilakukan dengan persetujuan ketua yang berada di setiap peringkat Perut akan memilih Buapak, Buapak memilih Lembaga, Lembaga memilih Undang dan Undang memilih Yang Di Pertuan Besar.

2.4  Sosial

Kepercayaan ialah komponen penting dalam mencorakkan kebudayaan sesuatu masyarakat. Kepercayaan bermaksud sesuatu yang diyakini dan dipercayai benar dan dapat diterima. Setiap budaya dapat memberikan jawapan kepada persoalan tentang kewujudan manusia, makna dan tujuan hidup manusia dan seterusnya sebab manusia meninggalkan dunia ini. Jawapan ini dapat dinyatakan melalui agama, falsafah dan keprcayaan. Begitu juga dengan idea tentang apa yang baik dan buruk serta yang benar dan yang salah. Kesemua ini berasaskan satu kepercayaan. Bagi masyarakat Melayu, kepercayaan mereka berkait rapat dengan agama Islam yang dianuti. Setiap perlakuan dan tindakan yang dilakukan mereka berdasarkan kepercayaan tersebut. Sebagai contoh, mereka yang beragama Islam percaya bahawa setiap perbuatan baik yang dilakukan walau sekecil mana sekalipun akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah S.W.T, manakala perbuatan yang jahat akan diberi balasan dosa.

      Seterusnya ialah, adat istiadat. Adat istiadat ialah sistem nilai yang berhubung cara-cara berfikir, pegangan hidup serta amalan sesebuah masyarakat. Tingkah laku yang diterima oleh masyarakat disebut kebiasaan dan seterusnya, kebiasaan yang telah diterima secara bersama disebut adat. Adat menjadi peraturan yang dipatuhi dan dihormati oleh masyarakat yang mendukungnya tanpa paksaan. Adat ialah peraturan yang sudah diamalkan secara turun temurun dalam sesebuah masyarakat sehingga menjadi hokum dan peraturan yang harus dipatuhi. Istiadat pula ialah cara-cara atau peraturan melakukan sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan atau resam. Sebagai contoh adat dalam masyarakat Melayu, Adat Temenggung, Adat Pepatih, Adat perkahwinan, Adat bertindik dan adat berkhatan.

2.5  Ekonomi

Sistem barter merupakan sejenis bentuk perniagaan yang tidak menggunakan sebarang bentuk perantara pertukaran, di mana barangan atau perkhidmatan ditukar dengan barangan dan/atau perkhidmatan lain. Ia boleh jadi dibuat antara dua atau beberapa pihak. Melalui sistem ini mereka terpaksa membuat pilihan sesama mereka untuk mendapatkan barang perantaraan yang dapat membawa manfaat bersama antara mereka. Oleh sebab itu, barang-barang yang digunakan sebagai alat perantaraan itu berbeza mengikut suasana dan zaman. maka jelaslah di sini bahawa pertukaran adalah tidak mustahil tanpa wang dan tidak hairanlah manusia boleh menjalankan kegiatan perdagangan dengan sistem pertukaran barter. Dalam ekonomi moden, kehendak manusia adalah pelbagai dan kegiatan manusia adalah luas termasuk di dalam dan di luar negara. Oleh itu, sistem barter mempunyai banyak kelemahan jika dipraktikkan dalam masyarakat moden.

Antara kelemahan sistem barter ialah kedua-dua pihak A dan B harus mempunyai kehendak yang saling menggenapkan sebelum pertukaran boleh dilakukan. Pihak A harus dapat menawarkan barang X yang dikehendaki oleh B dan pada masa sama pihak A juga harus mempunyai keinginan kepada barang Y yang ditawarkan oleh B. Kadangkala proses pemadanan kehendak yang sesuai mengambil masa yang lama sebeluum proses pertukaran boleh dilakukan. Masalah penemuan kehendak bergu ini merupakan masalah paling utama dalam sistem pertukaran barter. Komoditi yang ditukarkan mungkin besar dan sukar dibahagikan kepada unit-unit kecil semasa membuat pertukaran dengan barang lain yang bernilai kecil. Oleh kerana sebahagian besar barangan dalam masyarakat primitif itu merupakan hasil pertanian yang mudah rosak dan tidak tahan lama, maka pertukaran yang melibatkan barangan yang tidak tahan lama adalah tidak sesuai untuk ditukarkan, kecuali ia hendak digunakan dengan segera. Akan tetapi, pertukaran selalunya berasaskan barangan lebihan yang tidak akan digunakan dengan segera. Memang ternyatalah bahawa kebanyakan pihak tidak ingin melangsungkan pertukaran untuk memperoleh barangan lain yang tidak tahan lama dan tidak mempunyai ciri simpanan nilai.

      Barang yang tidak tahan lama atau tidak mempunyai simpanan nilai yang cepat rosak seperti ikan dan sayur perlu ditukarkan dengan segera. Jika tidak, ia akan rosak dan ini akan merugikan pemilik kerana nilai barang tersebut akan berkurangan. Walaupun terdapat beberapa kelemahan, harus diakui bahawa ekonomi yang menggunakan sistem barter atau pertukaran secara langsung itu merupakan satu sistem yang lebih baik daripada sistem sebelumnya, iaitu sistem mampu diri. Sistem barter membolehkan pengeluaran ditingkatkan sebab terdapat kemungkinan pertukaran. Kemungkinan pertukaran telah menggalakkan unit-unit ekonomi menghasilkan pengeluaran yang melebihi keperluannya sendiri. Pertukaran juga membolehkan unit-unit ekonomi menikmati barangan yang sebelumnya tidak pernah dinikmati. Walaupun terdapat kemungkinan pertukaran, proses pertukaran itu tidak sempurna. Banyak pertukaran tidak dapat dijalankan kerana masalah-masalah tersebut dan juga masalah-masalah lain seperti tidak mempunyai sistem penilaian am dan wujudnya kos dalam ekonomi. Oleh itu, pertukaran di bawah sistem barter adalah terhad. Sebahagian masalah itu berpunca daripada kekangan bahawa barangan itu harus ditukarkan satu demi satu dan secara langsung.

2.6  Pengaruh Luar Dalam Masyarakat Melayu
Pengaruh luar dalam masyarakat Melayu pada hari ini dibawa oleh pedagang, mubaligh serta pihak penjajah pada zaman dahulu. Hal ini jelas kerana, pengaruh dari pedagang daripada India yang membawa agama Hindu, pedagang dan mubaligh daripada Negara Timur Tengah dan penjajah Barat yang pernah bertapak di Tanah Melayu mengambil peluang untuk menyebarkan agama, budaya dan warisan mereka.
           
Pengaruh Hindu
Apabila pengaruh Hindu masuk ke alam Melayu yang dibawa oleh pedagang dan penyebar agama tersebut, kepercayaan Hindu menjadi cara hidup masyarakat. Upacara mandi safar misalnya merupakan pengaruh Hindu yang mengambil amalan orang Hindu. Penganut agama Hindu mengamalkan mandi di Sungai Ganges bagi membuang segala kejahatan. Dari segi bahasa, banyak kosa kata Sanskrit yang dibawa oleh Hindu diserapkan dalam bahasa Melayu. Hal ini menjadikan kosa kata bahasa Melayu lebih luas. Hindu juga membawa sastera lisan mereka. Cerita penglipur lara merupakan cerita lisan yang popular dan berkembang khususnya dalam kalangan istana.

Pengaruh Islam
Pengaruh Islam mula berkembang dengan kedatangan mubaligh ke rantau ini pada abad ke 14 dan penemuan batu bersurat di Terengganu menguatkan lagi penerimaan agama Islam di Tanah Melayu.. Penyerahan diri kepada Allah merupakan satu daripada amalan yang dilakukan oleh kebanyakan orang Melayu. Agama Islam telah mengubah cara pemikiran orang Melayu. Agama Islam menyuruh umatnya berfikir untuk menerapkan unsur-unsur rasionalisme dalam pemikiran mereka.

Pendidikan turut berkembang dengan adanya pengaruh Islam. Madrasah dibina untuk menyebarkan dan meluaskan pengetahuan tentang ajaran Islam. Pengajian pondok begitu popular dalam kalangan masyarakat Melayu. Hal yang demikian menyebabkan lahirnya masyarakat yang berpendidikan dan celik ilmu. Kesenian dalam pengaruh Islam pada zaman Turki Uthmaniyah turut dibawa di Tanah Melayu. Pengaruh Islam juga terdapat dalam seni bina. Reka bentuk ini terdapat pada rumah Melayu, masjid dan barang-barang perhiasan.

Pengaruh Barat
Kedatangan Barat berlaku selepas kedatangan Islam kerana penjajahan. Sebelum itu, aktiviti perdagangan berlaku. Kedatangan mereka turut mempengaruhi orang Melayu. Apabila barat menjajah rantau ini, nilai barat menular dalam masyarakat yang kadangkala bertentangan dengan ajaran Islam. Pergaulan terlalu bebas, hiburan  melampaui batas agama merupakan pengaruh yang negatif.

Walau bagaimanapun, terdapat kesan yang positif hasil pengaruh barat misalnya teknologi moden dalam bidang pertanian, perindustrian dan perkomputeran yang dapat mengembangkan ekonomi masyarakat Melayu. Dari segi bahasa, banyak kosa kata yang terserap yang dapat mengungkapkan pelbagai idea dan maklumat selaras dengan arus globalisasi.

Kedatangan Inggeris yang membukan peluang pendidikan yang lebih luas kepada masyarakat Melayu, khususnya golongan bangsawan yang kemudiannya dibuka kepada orang awam. Ini mempengaruhi budaya fikir orang Melayu. Di sekolah, anak-anak orang Melayu didedahkan kepada kaedah, idea dan kosmologi sains. Alam semangat dan alam rohaniah orang Melayu semakin lama semakin terpencil terutamanya  dalam kalangan mereka yang telah dididik dengan alam sekular sains. Sebab-musabab saintifik menggantikan konsep magis. Ubat-ubatan kimia menggantikan jampi serapah. 

No comments:

Post a Comment