Kata-kata

"Jika ada sebutir pasir, jadikan ia mutiara", "Jika ada segengam tanah, jadikan ia gunung", "Jika ada setitis air, jadikan ia lautan","Jika ada satu huruf, jadikan ia ayat", "Jika ada sepotong ayat, jadikan ia azimat".

Thursday, 19 January 2017

Pendekatan dan Kaedah Pengajaran Bahasa Melayu

1.0  Pengenalan
Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu yang mantap akan membantu para pendidik Bahasa Melayu meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran bahasa serta dapat dijadikan panduan bagi menghadapi cabaran dan kekangan dalam pengajaran bahasa Melayu pada masa kini. Perubahan semasa juga memerlukan guru bahasa mempunyai pengetahuan bahsa dan pedagogi yang mantap untuk digunakan di dalam bilik darjah. Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang baik adalah yang berpusatkan murid di samping penyerapan kemahiran bernilai tambah, iaitu kemahiran berfikir dan teknologi maklumat serta komunikasi di dalam dan di luar bilik darjah.

2.0  Banding beza
Pendekatan adalah jalan yang diambil semasa proses pengajaran dan pembelajaran berjalan. Dengan kata lain, pendekatan ini merupakan penentu bagaimana ilmu itu hendak disampaikan. Kalau diterjemahkan dalam bahasa yang mudah, jika seorang ayah ingin menyempurnakan keinginan anaknya yang selalu meminta barangan yang tidak mampu dia belikan, dia mungkin. Di dalam Bahasa Melayu, terdapat beberapa pendekatan yang selalu digunapakai oleh guru Bahasa Melayu. Antara pendekatan tersebut adalah seperti pendekatan induktif, pendekatan deduktif, pendekatan eklektik, pendekatan komunikatif berpusatkan murid, berpusatkan bahan, berpusatkan guru dan berpusatkan tema. Terdapat beberapa perbezaan diantara pendekatan – pendekatan ini dari segi jenis, kaedah pengajaran, prinsip – prinsip dan contoh.

2.1  Jenis pengajaran
Pendekatan induktif bermula daripada spesifik kepada umum. Menurut J.M Kierzek dan W.Gibson (1960), pendekatan induktif dimulakan dengan sesuatu sebab atau contoh dan menuju ke arah sesuatu generalisasi. Pengajaran dan pembelajaran melibatkan seseorang guru boleh membantu pelajar menguasai konsep atau generalisasi berasaskan pemerhatian atau contoh-contoh yang diperoleh. Menurut B.Seaton (1982), pembelajaran melalui pendekatan ini disamakan dengan seorang murid mengalami proses mental yang mana ia memerhati peristiwa tertentu untuk memperoleh satu kesimpulan.
      Pendekatan deduktif merupakan jenis pengajaran yang bermula daripada umum kepada spesifik. Pendekatan ini merujuk kepada satu pembelajaran dimana pelajar bermula dengan hukum yang umum dan digunakan dalam kes-kes tertentu.
      Pendekatan eklektik menggunakan dua atau lebih kaedah yang menggabungkan segala ciri yang baik daripada pendekatan tersebut dan menggunakannya dalam satu-satu pengajaran dan pembelajaran. Pendekatan eklektik dihasilkan dengan menggunakan gabungan pendekatan indukif dan deduktif.
      Pendekatan komunikatif merupakan pendekatan yang berpusatkan murid iaitu berfokuskan kepada bentuk-bentuk komunikasi iaitu seperti meminta maaf, bercerita ataupun melapor. Situasi ini berlaku dalam amalan masyarakat sehari-harian.
      Dalam pendekatan berpusatkan guru, guru berada di tengah-tengah aktiviti bilik darjah. Strategi yang berpusatkan guru juga dikenali sebagai pengajaran langsung. Pengajaran langsung bergantung kepada guru untuk mengarah pemikiran pelajar dan penglibatan. Ia juga bergantung kepada penekanan kandungan yang berstruktur.
Strategi berpusatkan murid bermaksud murid mengambil alih sedikit tanggungjawab untuk apa yang diajar dan bagaimana ia dapat mempelajarinya. Ada sedikit kecenderungan terhadap pembelajaran eksperiential dan membuat penemuan untuk mereka (Martin et al, 1994). Pendekatan ini sebenarnya berpisah daripada tradisi di mana bilik darjah didominasikan guru dan strategi berpusatkan pelajar dapat menggalakkan murid bertanggungjawab dan melibatkan diri bagi membantu mereka belajar bagaimana untuk belajar.
Strategi berpusatkan bahan bermaksud guru menggunakan pelbagai bahan seperti buku, blok-blok binaan, bahan lukisan, peralatan saintifik, komputer, pusat sumber, pusat akses kendiri dan lain-lain untuk menjalankan pengajarannya.
Strategi berasaskan tugasan bermaksud guru melibatkan pelajar dalam tugasan yang memberikan peluang kepada pelajar untuk melatih atau mengaplikasikan apa – apa yang dipelajari dan dalam proses memberikan bimbingan, strategi-strategi mempermudahkan tugasan atau bantuan yang membolehkan mereka menyempurnakan aktiviti dengan jayanya.

2.2  Kaedah pengajaran
Kaedah pengajaran induktif pula setiap guru boleh menggunakan gambar, video ataupun hasil karya dalam penyampaian maklumat kepada murid-murid. Murid-murid juga digalakkan mengemukakan contoh-contoh yang diketahui oleh mereka semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlaku.
      Strategi pengajaran deduktif merupakan kaedah mengajar yang kompleks kerana murid perlu memperolehi kefahaman yang mencukupi serta berupaya memilih rumus, hukum, teorem, peraturan yang telah dipelajari dengan tepat untuk diaplikasi pada contoh-contoh khusus. Pendekatan ini mengasaskan pengajaran dan pembelajaran murid kepada hukum-hukum atau tertentu.
      Strategi pengajaran menggunakan pendekatan eklektik boleh dilakukan dengan dua cara iaitu mirip kepada pendekatan induktif ataupun P&P yang lebih mirip kepada pendekatan deduktif. Guru boleh mengaplikasikan strategi berpusatkan guru, berpusatkan murid, berpusatkan bahan dan berpusatkan tema dalam pengajaran dan pembelajaran. Kebanyakkan guru akan menggunakan pendekatan ini dalam aktiviti pemulihan dan pengayaan.
      Bagi pendekatan komunikatif pula, penekanan tentang penyerapan bentuk gramatikal adalah untuk tujuan komunikasi. Pendekatan ini wujud kerana pendekatan lain lebih mementingkan penguasaan bahasa pada peringkat membina ayat-ayat yang betul secara pencilan yang terkeluar daripada konteks wacana. Penguasaan komunikasi adalah perlu agar pelajar dapat membuat pemilihan struktur ayat yang betul mengikut konteks bahasa.
      Strategi berpusatkan guru mengandungi pengajaran dalam langkah-langkah kecil yang menekankan amalan pelajar selepas setiap langkah. Peranan guru adalah mengemukakan bahan pengajaran, membimbing pelajar melalui sesi praktis awalan dan memberi semua pelajar latihan amali berperingkat tinggi yang lebih kerap.
Pendekatan berpusatkan murid boleh dilakukan dengan mewujudkan iklim bilik darjah yang baik di mana murid dapat berinteraksi dengan guru dan murid lain. Strategi ini lebih sesuai digunakan apabila maklumat tidak disampaikan secara berkesan dalam strategi berpusatkan guru dan apabila matlamatnya adalah untuk memperkembangkan kemahiran pemikiran kreatif dan kritis. Pengajaran di dalam bilik darjah yang berpusatkan murid selalunya kurang berstruktur
Pelbagai bentuk bahan resos yang digunakan guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Antaranya ialah penggunaan buku yang digunakan semenjak dahulu sebagai satu bentuk pengajaran berpusatkan bahan yang utama. Kebelakangan ini, terdapat peningkatan dalam penggunaan media dalam pembelajaran berpusatkan bahan.
Apabila pelajar mula melaksanakan tugasan, guru boleh memantau kemajuan dan menyediakan bantuan jika perlu. Kesemua tugasan perlu disusuli refleksi atau perbincangan pada akhir tugasan Guru akan membuat semakan dengan pelajar, memberikan maklum balas umum tentang prestasi dan mengukuhkan idea-idea utama apabila berhubung dengan matlamat keseluruhan.




2.3  Prinsip – prinsip
Antara prinsip-prinsip penggunaan pendekatan induktif adalah menggunakan contoh-contoh yang relevan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ini adalah sebagai rujukan kepada murid untuk lebih memahami apa yang cuba disampaikan oleh guru.
Prinsip pendekatan deduktif pula pada peringkat permulaan, masalah atau hipotesis harus didedahkan terlebih dahulu.  Murid-murid harus dibimbing mengingat kembali rumus, generalisasi, prinsip, teorem atau teori agar membolehkan mereka menyelesaikan masalah atau hipotesis yang telah didedahkan. Generalisasi, prinsip atau teori yang digunakan untuk menyelesaikan masalah atau membukti hipotesis haruslah diketahui serta telah difahamkan secara mendalam. 
Bagi pendekatan eklektif pula, guru boleh memulakan P&P dengan memberikan contoh dan diikuti dengan kesimpulan. Selain itu, proses pengajaran dan pembelajaran boleh diakhiri dengan memberikan contoh diikuti dengan generalisasi. Proses ini lebih menyerupai kepada pendekatan induktif. Jika guru memulakan pelajaran dengan memberikan peraturan atau generalisasi diikuti dengan contoh dan kemudian diakhiri dengan penerangan tentang peraturan, maka ianya lebih kepada pendekatan deduktif
Prinsip-prinsip pendekatan komunikatif ini adalah berkaitan dengan pengetahuan murid dalam aktiviti yang akan dilakukan. Setiap guru haruslah merancang terlebih dahulu aktiviti agar murid dapat menggunakan bahasa dalam berkomunikasi. Pengajaran bahasa lebih mengikut proses komunikasi sebenar iaitu seperti perbualan dalam kehidupan sehari-harian.
Strategi berpusatkan guru juga dikenali sebagai pengajaran eksplisit. Ia terdiri daripada bahan yang mengandungi langkah-langkah kecil dan sistematik. Terdapat juga hentian sejenak untuk menyemak pemahaman pelajar. Pendekatan ini berguna untuk menyampaikan fakta-fakta khusus dan kemahiran tertentu.
Walaupun strategi berpusatkan murid kurang berstruktur, guru tidak membiarkan murid membuat sesuka hati mereka. Guru masih berkuasa dan memberi sedikit tanggungjawab kepada pelajar. Peranan sebagai orang yang berkuasa tidak diperlihatkan oleh guru. Akan tetapi, guru bertindak autoritatif. Guru memilih untuk mengagihkan sedikit kuasanya kepada murid dan tidak memusatkan kuasa kepada dirinya.
Pembelajaran berpusatkan bahan juga adalah penting bagi membantu guru memenuhi keperluan pelajar yang pelbagai. Ia dapat menyediakan cara untuk pelajar belajar mengikut kadar sendiri, pada bila-bila masa dan di lokasi yang tidak menyulitkan mereka.
Guru perlu memberikan bimbingan dan maklum balas semasa aktiviti serta menstruktur refleksi selepas aktiviti. Semasa memperkenalkan aktiviti, guru perlu menegaskan tujuan-tujuan agar pelajar akan melibatkan diri dalam aktiviti serta mereka jelas tentang matlamat yang ingin dicapai. Guru boleh membimbing pelajar dengan membekalkan maklumat yang diperlukan atau bantuan tentang cara menyempurnakan kehendak tugasan.

2.4  Contoh
Soalan-soalan bagi pendekatan induktif akan disediakan untuk membimbing murid membuat kesimpulan. Soalan-soalan ini adalah berkaitan dengan contoh-contoh yang telah dipertunjukkan kepada murid-murid.
Contoh pendekatan deduktif ialah seorang guru akan mengemukakan satu konsep, hukum atau kesimpulan dengan menerangkan definisi sebelum memberikan beberapa contoh untuk memperjelas kefahaman. Pelajar perlu menaakul untuk mendapatkan contoh tertentu daripada peraturan umum.
Pendekatan eklektif ini sesuai untuk kelas yang mempunyai pelajar pelbagai kebolehan. Ada kala kaedah induktif lebih sesuai digunakan untuk segelintir murid manakala ada pula murid yang akan memahami dengan jelas melalui kaedah deduktif.
Contoh bagi pendektn komunikatif pula ialah pengajaran bahasa dibuat dalam konteks wacana dan guru perlu mengajar bahasa yang melampaui batas ayat agar pelajar dapat berkomunikai secara berkesan.
Antara contoh-contoh pendekatan berpusatkan guru termasuklah pertimbangan semula, latih tubi dan praktis, kuliah dan hafalan pelajar. Berdasarkan pengalaman anda di sekolah, apakah ciri-ciri yang anda dapat kenalpasti sebagai pengajaran langsung.
Antara contoh strategi berpusatkan murid ialah penerokaan, inkuiri penemuan dan beberapa bentuk perbincangan. Contoh-contoh lain pengajaran yang kurang eksplisit termasuklah menganalisis trenda dalam sejarah, kesusasteraan, dokumen atau masalah praktikal, perbincangan dan spekulasi penyelesaian bagi isu-isu sosial, mengajar karangan dan menulis tesis.
Contoh pendekatan berpusatkan bahan ialah peningkatan dalam bahan pembelajaran, panduan pelajaran, panduan buku teks, buku kerja, video dan pakej pembelajaran. Bahan yang lebih canggih ialah pakej pembelajaran berasaskan komputer, konferens komputer, CD-Rom, multimedia, kumpulan perbincangan komputer, video interaktif, bahan dalam laman web, telekonferens, konferens video dan telematiks.

Contoh aktiviti berpusatkan tugasan, aktiviti boleh merupakan aktiviti permainan atau main peranan; aktiviti tersebut releven dan berguna untuk menyampaikan isi kandungan pelajaran. Walau bagaimanapun, semasa memilih aktiviti yang tidak memenuhi kriteria utama, guru boleh menambil kira kriteria sekunder.

No comments:

Post a Comment