Kata-kata

"Jika ada sebutir pasir, jadikan ia mutiara", "Jika ada segengam tanah, jadikan ia gunung", "Jika ada setitis air, jadikan ia lautan","Jika ada satu huruf, jadikan ia ayat", "Jika ada sepotong ayat, jadikan ia azimat".

Thursday, 19 January 2017

Kaedah dan Teknik Pengajaran Bahasa Melayu

1.0  PENDAHULUAN
Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan diwujudkan kerana masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa. Semua kaum mempunyai budaya yang tersendiri. Kepelbagaian ini kalau tidak ditangani dengan berhati-hati akan menimbulkan pelbagai permasalahan. Satu mekanisme bahasa diwujudkan untuk penyatuan untuk mengeratkan hubungan kekitaan seluruh rakyat Malaysia. Maka, menurut Zulkifley. Ramli Md. Salleh & Rahim Aman, 2007,  Bahasa Melayu yang berperanan sebagai bahasa kebangsaan telah menjadi bahasa penyatu rakyat Malaysia. Semasa Malaysia mencapai kemerdekaan, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan yang menyebut bahawa “Bahasa Kebangsaan Negara ini ialah Bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana Bahasa Kebangsaan. Bahasa kebangsaan merupakan sebuah bahasa yang melambangkan identiti kebangsaan sesuatu bangsa atau negara secara unik. Bahasa kebangsaan ialah bahasa yang diangkat menjadi bahasa utama sesebuah negara yang berdaulat dan lazimnya digunakan sebagai bahasa rasmi negara tersebut. Semua negara yang berdaulat mempunyai bahasa kebangsaan sendiri.

1.1  PENGENALAN
Kepentingan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam sistem pendidikan kebangsaan, Bahasa Melayu tetap mempunyai peranan sebagai bahasa ilmu kerana kesediaan pengamal Bahasa Melayu untuk menggunakan bahasa tersebut sebagai bahasa ilmu. Bahasa Melayu lama bertapak sebagai bahasa pengantar di sekolah, maktab, politeknik dan universiti. Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia merupakan kemuncak bagi menentukan bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan. Ratusan ribu siswazah telah berjaya menerima pendidikan dalam Bahasa Melayu. Ribuan tesis dan disertasi pada peringkat ijazah sarjana dan kedoktoran ditulis dalam Bahasa Melayu,dan puluhan, malahan ratusan, profesor telah menyampaikan syarahan perdana tentang pelbagai ilmu mengunakan Bahasa Melayu. Kepentingan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pengetahuan terkini akan tetap kekal berfungsi sebagai bahasa untuk menimba ilmu dari pringkat akar umbi hinggalah ke menara gading. Jati diri orang Melayu dengan sikapnya yang optimistik mencerahkan lagi pengusaan bahasa Melayu secara warisan dalam sistem pendidikan kebangsaan. Bahasa Melayu digunakan secara rasmi dalam sistem pendidikan Negara. Dalam Laporan Razak telah memberikan penegasan dalam mengutamakan bahasa Melayu sebagai pengantar ilmu pengetahuan. Sistem persekolahan aliran kebangsaan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Sekolah dalam aliran jenis Kebangsaan wajib dalam pengajaran bahasa Melayu.
Bahasa Melayu berkepentingan sebagai bahasa perpaduan kerana ianya menjadi lambang penyatuan suara yang digunakan sebagai alat perhubungan. Oleh kerana pihak kerajaan menyedari bahasa Melayu merupakan agen penyatuan rakyat Malaysia, maka beberapa perubahan terhadap sistem pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu telah diadakan sebagai usaha mewujudkan perpaduan kaum di negara ini. Cendekiawan negara, Profesor Diraja Ungku Aziz berkata, keunikan bahasa Melayu boleh menjadi alat komunikasi bagi memantapkan lagi perpaduan kaum yang telah lama wujud.

2.0  KAEDAH DAN TEKNIK PENGAJARAN BAHASA MELAYU
Sistem pendidikan terkini memerlukan para pendidik membuat anjakan pradigma daripada segi penyampaian di bilik darjah. Keperluan ini didasarkan kepada beberapa ciri-ciri pendidikan yang menjadi tunjang kepada dasar pendidikan negara. Salah satu proses pengajaran ialah melalui pedagogi Bahasa Melayu berbantukan ICT. Seiring dengan kemajuan ICT maka terbentuklah beberapa strategi pengajaran dan pembelajaran berkisarkan daripada aspek pedagogi. Perkembangan ini bertujuan untuk mewujudkan pembelajaran bermakna serta lebih berkesan. Oleh itu, guru perlu mempelbagaikan kaedah dan teknik dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu.

Kaedah merupakan satu siri tindakan guru yang sistematik yang bertujuan untuk mencapai objektif pengajaran yang telah ditetapkan. Kaedah adalah lebih bercorak jangka pendek dan merupakan usaha keseluruhan yang terdiri daripada prosedur tersusun serta berdasarkan sesuatu pendekatan yang dipilih.Kaedah juga digunakan bagi mendokong pendekatan dipilih. Kaedah merupakan langkah-langkah atau peringkat-peringkat pengajaran yang tersusun rapi dan kesinambungan yang harus dituruti dengan saksama bagi mencapai sesuatu objektif pengajaran. Terdapat beberapa kaedah dalam bahasa Melayu yang boleh digunapakai oleh guru-guru Bahasa Melayu antaranya;

i.              Kaedah Natural
Kaedah ini berasaskan penggunaan bahasa dalam situasi komunikatif seperti yang berlaku dalam pedekatan-pendekatan tradisional. Kaedah ini kurang menekankan rujukan kepada analisis gramatikal, latih tubi gramatikal atau kepada teori tatabahasa tertentu.


ii.             Kaedah Nahu Tradisional
Kaedah nahu tradisional ini diajar untuk membolehkan pelajar memahami nahu sesuatu bahasa dan juga melatih pelajar menulis menggunakan bahasa yang betul. Kaedah ini juga, membolehkan pelajar menterjemahkan bahasa asing ke bahasa natif dan sebaliknya. Ia juga bagi melengkapkan pelajar dengan perbendaharan kata yang luas yang dapat digunakan dalam penulisan.

iii.            Kaedah Ajuk Hafaz
Kaedah ini adalah kaedah pengajaran dilakukan secara demonstrasi dan latih tubi. Pengajaran demonstrasi harus berkaitan dengan tatabahasa, pertuturan, perbendaharaan kata melalui guru bahasa atau penutur jati. Tatabahasa diajar secara menghafaz beberapa ayat asas melalui ajukan dan maknanya diberi dalam ungkapan biasa dalam bahasa ibunda.

iv.           Kaedah Linguistik
Kaedah ini adalah merupakan kaedah mengajar bahasa moden secara saintifik iaitu dengan membandingkan antara dua bahasa. Pengetahuan bahasa murid-murid harus tertumpu kepada bentuk dan fungsi bahasa itu disamping aspek-aspek lain seperti bunyi, susuk ayat, makna, dan lain-lain. Kaedah ini lebih mendahului bentuk daripada makna.

v.            Kaedah Kod Kognitif
Kaedah ini lebih menekankan bentuk dan makna. Seseorang yang ingin mempelajari sesuatu bahasa harus mengetahui sistem bahasa berdasarkan kepada hukum-hukum dan norma-norma tertentu dalam ilmu tatabahasa.

Menurut Kamus Dewan (edisi ketiga), teknik adalah kaedah mencipta sesuatu hasil seni seperti muzik, karang-mengarang dan sebagainya. Menurut Edward M. Anthony mendefinisikan teknik adalah satu muslihat atau strategi atau taktik yang digunakan oleh guru yang mencapai hasl segera yang maksimum pada waktu mengajar sesuatu bahagian bahasa tertentu. Mengikut Kamaruddin Hj. Husin & Siti Hajar Hj. Abdul Aziz dalam bukunya Pengajian Melayu III : Komunikasi Bahasa, teknik boleh didefinisikan sebagai pengendalian suatu organisasi yang benar-benar berlaku di dalam bilik darjah di mana ia digunakan untuk mencapai sesuatu objektif. Teknik merupakan suatu alat yang digunakan oleh guru bahasa bagi menyampaikan bahan-bahan pengajaran yang telah dipilih untuk pelajar-pelajarnya. Teknik yang dipilih haruslah sejajar dengan kaedah yang digunakan dan seirama dengan pendekatan yang dianuti. Tujuan penerapan teknik dalam pengajaran dan pembelajaran ialah untuk menarik minat murid dengan apa yang cuba disampaikan oleh guru. Selain itu juga, untuk memastikan murid mengekalkan perhatian terhadap guru mengajar dan mampu membangkitkan rasa ingin tahu murid terhadap apa yang guru cuba sampaikan. Terdapat beberapa teknik yang boleh diterapkan oleh seorang guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran, antaranya;

i.              Teknik Latih – Tubi
Teknik latih tubi adalah aktiviti pengulangan fakta-fakta atau kecekapan yang dipelajari. Tujuannya untuk mencapai taraf penguasaan kemahiran disampimg menjamin kekekalannya. Ia sesuai digunakan untuk pengajaran Bahasa Melayu. Boleh digunakan untuk mencapai sesuatu kemahiran seperti kemahiran menyebut perkataan, ayat-ayat atau mengingat fakta-fakta penting. Melalui teknik ini murid akan mengalami proses mendengar, melihat, memikirkan maksud perkataan-perkataan serta tugasnya dalam situasi yang penggunaan perkataan-perkataan itu. Berasaskan pengajaran bahasa dengar dan sebut (audiolingual) yang biasanya digunakan dalam pengajaran bahasa kedua.

ii.             Teknik Simulasi
Simulasi ditakrifkan sebagai satu situasi yang diwujudkan hampir menyerupai keadaan sebenar yang memerlukan pelajar berinteraksi sesama sendiri berdasarkan peranan masing-masing bagi membuat keputusan menyelesaikan masalah, isu atau tugasan semula. Melalui teknik ini murid-murid dapat menggunakan kemahiran belajar seperti mengumpulkan maklumat, menjalankan temuramah dengan individu tertentu dan mencatat isi-isi penting. Dalam proses ini murid digalakkan untuk memberi pendapat, cadangan, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah berdasarkan peranan yang dipertanggungjawabkan. Memberi peluang kepada murid mengalami sendiri situasi dan masalah. Melalui teknik ini pelbagai kemahiran dapat digabungjalinkan dan dipertingkatkan terutamanya dalam kemahiran lisan membaca dan menulis. Dapat mewujudkan pelbagai aktiviti menarik yang menjadi sumber motivasi kepada murid untuk meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran.

iii.            Teknik Main Peranan
Main peranan bermaksud melakonkan sesuatu situasi atau masalah atau peristiwa yang dianggap penting. Murid diberi peranan dan bertindak sebagai watak-watak yang ditentukan dalam satu situasi yang disediakan. Main peranan ialah dramatisasi yang tiada kaitan atau penghafalan skrip, dimana pelakon-pelakon cuba menyelesaikan atau menjelaskan situasi kepada kepada murid-murid lain supaya mempraktikkan kepada diri mereka berdasarkan peranan yang dimainkan secara spontan. Proses ini biasanya dimulakan dengan pemikiran masalah yang sesuai. Masalah ini dikemukakan kepada murid dengan cara membacakannya atau memperlihatkannya melalui filem, televisyen, mendengar rakaman dan sebagainya.

iv.           Teknik Sumbangsaran
Teknik ini dikenali juga sebagai percambahan fikiran (brainstorming) yang merupakan satu sesi perbincangan yang membolehkan setiap ahli kumpulan menyumbangkan pendapat dan idea. Boleh diaplikasikan sebagai aktiviti permainan bahasa pada peringkat sekolah rendah dan berkembang menjadi aktiviti perbincangan yang lebh serius dan kompleks pada peringkat sekolah menengah, universiti dan latihan profesional. Menekankan pengeluaran idea daripada pembelajaran yang kretif dan bukan pembelajaran secara analitis.


v.            Teknik Permainan Bahasa
Permainan bahasa adalah salah satu cara dalam mempelajari bahasa melalui teknik permainan. Penglibatan dalam permainan telah memberi peluang kepada murid memperolehi latihan intensif, pembelajaran bermakna dan sebagai alat dianogstik. Kebanyakan aktiviti yang dijalankan akan menggunakan pelbagai kemahiran berbahasa pelajar antaranya kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Permainan bahasa mempunyai hala tuju yang bertepatan dengan kemahuan dalam sistem pendidikan negara amnya dan Falsafah Pendidikan Negara khususnya.


vi.           Teknik Bercerita
Merupakan salah satu pendekatan yang sesuai digunakan untuk membina kecekapan berbahasa kerana cerita merupakan sesuatu yang dapat menarik minat dan perhatian pelajar. Latihan pemahaman, perluasan perbendaharaan kata dan tatabahasa dapat disampaikan. Dapat meningkatkan penguasaan kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis di kalangan pelajar. Perkembangan cerita hendaklah diberi perhatian agar ada peringkat permulaan, kemuncak dan kesudahan cerita. Perhatian perlu diberi kepada teknik persembahan, suara, gerak laku dan kawalan mata. Suara memainkan peranan yang penting di mana ia harus di kawal supaya jangan mendatar dan tidak menimbulkan kebosanan.


vii.          Teknik Drama

Sering digunakan dalam kaedah komunikatif dan kaedah yang berasaskan pendekatan induktif iaitu kaedah terus, elektif dan audiolingual. Tujuan utama adalah untuk melatih murid menggunakan unsur bahasa, unsur paralinguistik (jeda, nada dan intonasi) dan bukan linguistik (mimik muka, gerak tangan, kepala dan dll) dengan berkesan dalam sesuatu interaksi bahasa atau perbuatan. Penggunaannya dapat mendorong dan merangsang murid untuk menghubungkan perasaannya dengan matapelajaran yang dipelajarinya. Murid bebas meluahkan sesuatu, membuat penemuan, memberi dan berkongsi sesuatu. Drama berperanan sebagai ragam pembelajaran iaitu sebagai salah satu alat bantu pengajaran dan pembelajaran. Dapat menimbulkan keseronokan dan keberkesanan pembelajaran kepada murid, disamping dapat menyuburkan sahsiah murid.

3 comments:

  1. Terima kasih banyak banyak atas perkongsian ini. Saya minta halal segala ilmu dan tips ye. 🙂😊

    ReplyDelete
  2. Terima kasih atas perkongsian ilmu yang bermanfaat.

    ReplyDelete
  3. Terima kasih atas perkongsian ilmu. semoga ilmu ini berkembang dan dimanfaatkan

    ReplyDelete