Kata-kata

"Jika ada sebutir pasir, jadikan ia mutiara", "Jika ada segengam tanah, jadikan ia gunung", "Jika ada setitis air, jadikan ia lautan","Jika ada satu huruf, jadikan ia ayat", "Jika ada sepotong ayat, jadikan ia azimat".

Monday 21 March 2016

PERKEMBANGAN AWAL KANAK-KANAK

1.0  Pengenalan

Falsafah Pendidkan Negara (FPN) merupakan sistem pendidikan yang menganjakkan diri ke kedudukan terkehadapan dengan mengungkapkan secara jelas prinsip dan nilai asas yang mendasari dan membentuk sistem pendidikan Malaysia daripada peringkat paling rendah kepada paling tinggi iaitu institusi pendidikan tinggi  seperti universiti. Falsafah Pendidikan Negara  juga turut menjelaskan tujuan dan matlamat pendidikan untuk individu dan negara.

Tujuan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk individu adalah untuk melahirkan insan yang berilmu, berakhlak mulia dan bertanggungjawab yang juga menjadi seorang warganegara yang baik. Pendidikan merupakan proses asas dan utama untuk pembinaan insan yang baik, seimbang dan bersepadu, ini untuk menjayakan hasrat dan cita-cita negara. Secara keseluruhannya, tujuan pendidikan tinggi bukan hanya setakat memperoleh segulung ijazah atau diploma tetapi adalah untuk pembangunan diri manusia secara menyeluruh dan seimbang supaya menjadi seorang insan, ahli keluarga dan masyarakat dan warganegara yang berilmu, bertanggungjawab, berakhlak mulia dan berbakti.

Manusia sentiasa mengalami proses pertumbuhan dan perkembangan. Proses pertumbuhan dan perkembangan ini berlaku dari semasa ke semasa bermula sejak dari dalam kandungan lagi hinggalah ke akhir hayat. Namun begitu proses pertumbuhan dan perkembangan mempunyai beberapa perbezaan yang ketara. Secara umumnya pertumbuhan bersifat kuantitatif, boleh diukur kerana ia melibatkan pertumbuhan secara fizikal. Manakala, perkembangan pula bersifat kualitatif, tidak boleh diukur, tetapi boleh dinilai, ia lebih kepada perkembangan kognitif dan mental. Kamus Dewan (1992) mendefinisikan pertumbuhan sebagai proses tumbuh, iaitu hidup, menjadi bertambah besar atau sempurna. Perkembangan pula didefinisikan sebagai proses berkembang iaitu menjadi semakin sempurna.

Terdapat beberapa definisi yang diberikan oleh ahli psikologi berhubung dengan pertumbuhan. Secara umumnya, mereka memberikan definisi yang hampir sama iaitu pertumbuhan itu bersifat kuantitatif, perubahan fizikal menunjukkan kematangan seseorang dan boleh diukur. Pertumbuhan ini akan terhenti apabila seseorang itu mencapai kematangan apabila aqil baligh.

Mengikut kajian ahli psikologi, perkembangan kanak-kanak dipecahkan kepada lima aspek iaitu aspek jasmani, kognitif, emosi, sosial dan rohani. Kelima-lima aspek ini pula adalah berasaskan kepada dua faktor yang utama iaitu dipengaruhi oleh faktor baka dan faktor persekitaran. Ahli psikologi juga telah berpendapat bahawa tiada individu di dunia ini yang mempunya kadar perkembangan yang sama dan menjadikan faktor baka dan faktor persekitaran sebagai penyebab utama ketidaksamaan kadar perkembangan seseorang individu.

Dalam konteks pertumbuhan dan perkembangan manusia, pertumbuhan merupakan satu proses kesempurnaan manusia itu membesar dari kandungan hinggalah mencapai kematangan atau aqil baliqh, pada ketika ini sempurnalah pertumbuhannya dan ia akan terhenti. Perkembangan pula satu proses kesempurnaan sifat kemanusiaan yang terkandung perasaan, kecerdasan, kebijaksanaan, kemampuan berfikir, kebolehan mengatur tingkah laku dan sebagainya, ianya akan terus berlaku dari semasa ke semasa hinggalah akhir hayat.

2.0  Definisi

2.1  Pertumbuhan

Terdapat beberapa definisi yang diberikan oleh ahli psikologi berhubung dengan pertumbuhan. Secara umumnya, mereka memberikan definisi yang hampir sama iaitu pertumbuhan itu bersifat kuantitatif, perubahan fizikal menunjukkan kematangan seseorang dan boleh diukur. Pertumbuhan ini akan terhenti apabila seseorang itu mencapai kematangan apabila aqil baligh.

Karl E. Garisson dalam Ee Ah Meng (1993) mendefinisikan pertumbuhan sebagai proses perkembangan individu dalam bentuk saiz badan, iaitu perubahan-perubahan otot, tulang, kulit, rambut dan kelenjar. Manakala Atan Long pula memberi takrif perubahan yang dapat diukur dari satu peringkat ke satu peringkat yang lain dari semasa ke semasa. Proses perubahan tersebut dapat diukur secara kuantiti ke atas seseuatu organisma. Bagi D.S Wright dan Ann Taylor dalam Ee Ah Meng (1993) pula, mereka menyifatkan pertumbuhanitu sebagai pertambahan-pertambahan dalam pelbagai sifat luaran seseorang seperti ketinggian, berat badan dan saiz.


2.2  Perkembangan

Crow and Crow dalam Ee Ah Meng (1993) mentakrifkan perkembangan sebagai perubahan bersifat kualitatif serta cenderung ke arah yang lebih baik dari segi pemikiran, rohani, moral dan sosial. Sebagai cohtoh, seseorang kanak-kanak boleh membina ayat setelah belajar membatangkan perkataan. Kebolehan membina ayat adalah satu proses perkembangan.

D.S Wright dan Ann Taylor dalam Ee Ah Meng (1993) pula mendefinisikan perkembangan sebagai perubahan yang berlaku dalam warisan hayat dan organisasi kepada struktur organisma dalam keadaan yang saling berkait serta berhubung dengan pertambahan umur. Manakala Atan Long pula menyatakan perkembangan itu satu perubahan kualitatif yang tidak dapat diukur kuantitinya tetapi jelas dilihat perubahan telah berlaku kerana bersifat baharu dan berlainan daripada peringkat yang lebih awal.

2.3  Baka

Baka ialah pewarisan keturunan. Ianya juga dianggap sebagai perhubungan genetik di antara generasi manusia.Pengaruh genetik atau baka ke atas pertumbuhan dan perkembangan manusia ini sebenarnya dipelopori oleh Johann  Gregor Mendel(1822-1889). Menurut Ee Ah Meng (2005) baka merupakan ciri-ciri yang diturunkan melalui ibu bapa kepada anak-anaknya melalui gen.  Amran Schienfed mengatakan bahawa baka menentukan persamaan antara ibu bapa dengan anak-anaknya, di kalangan ahli dalam satu kumpulan keluarga .

Faktor baka  (nature) lebih dikenali sebagai gen yang terdiri daripada nukleoprotein yang menentukan baka atau ciri keturunan. Kedudukan nukleoprotein terletak di atas lokus kromosom, yang berupa benang halus yang terdapat dalam nukleus sel sperma (jantan) juga sel ovum (betina). Mengikut kajian, kromosom mengadungi bahan DNA dan RNA dan masing-masing membawa gen-gen yang mengandungi sifat-sifat baka. Gen akan memberi sifat unik kepada setiap manusia. Tidak dinafikan bahawa pertumbuhan dan perkembangan individu dipengaruhi oleh faktor genetik individu tersebut. Sebagai contoh ialah saiz badan, ketinggian dan rambut.


2.4  Persekitaran

     Menurut Kamaruddin Hj Husin (1998), Normal L Munn telah mengatakan persekitaran ialah segala benda yang ada di sekeliling unit-unit kebakaan. Sementara itu W. Edgar Vinacke mengatakan persekitaran adalah segala kuasa yang kompleks yang boleh mempengaruhi tingkah laku individu. Menurut Amram Schienfield, persekitaran merujuk kepada luaran individu dan faktor bakanya yang bermula daripada peringkat persenyawaan.Faktor ini merujuk kepada keadaan semasa proses perkembangan kanak-kanak. Secara umumnya, faktor persekitaran ini terbahagi kepada dua kategori iaitu kategori pralahir dan kategori selepas lahir.

3.0  Laporan

Tugasan yang diberikan memerlukan saya untuk menemubual rakan sebaya bagi mendapatkan maklumat mengenai dirinya. Temubual telah dilakukan terhadap rakan sebaya untuk mengetahui faktor yang paling dominan di antara baka dan persekitaran yang mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan rakan sebaya tersebut. Temubual telah dilakukan dari .aspek fizikal, kognitif dan personaliti.

3.1  Fizikal

Perkembangan fizikal individu ditentukan oleh dua faktor iaitu baka dan persekitaran. Proses perkembangan ini berlaku secara tersusun dan bersistematik tanpa kita sedari. Selain melihat perubahan yang berlaku pada berat badan dan kadar ketinggian kanak-kanak, satu lagi aspek perkembangan fizikal turut dikaji ialah pergerakkan motor. Perkembangan fizikal kanak kanak yang berlaku boleh diukur dan diperhatikan berdasarkan dua cara iaitu kuantitatif dan kualitatif. Pertumbuhan saiz badan, gigi, tinggi, struktur badan dan sebagainya yang boleh diukur secara kuantitatif.

Selain itu, perkembangan beliau dari peringkat fizikal bermula dengan proses persenyawaan sehingga ke peringkat awal remaja. Seperti yang telah diterangkan oleh teori bermula dengan peringkat perinatal yang bermaksud sesuatu yang berlaku kepada ibu dalam tempoh seseorang mula hamil sehingga kelahiran bayi. Peringkat ini bermula dengan proses persenyawaan dan seterusnya berkembangan menjadi zigot yang akan melalui proses pembahagian sel dan akhirnya membentuk seorang manusia sempurna. Sepanjang berada dalam rahim, seorang bayi itu melalui tiga fasa penting iaitu peringkat pembenihan, embrio dan peringkat janin. Semasa melalui peringkat ini, bayi berkembang daripada zigot, embrio dan janin yang lengkap tubuh badan sehingga proses kelahiran yang disebut peringkat bayi.

Berdasarkan prinsip pertumbuhan dan perkembangan, ada tiga prinsip perkembangan fizikal yang boleh diperincikan iaitu arah tertentu yang boleh diramal, perkembangan yang sama dan serupa dan bermula daripada umum kepada yang khusus. Berdasarkan temubual yang telah dijalankan, beliau mengatakan bahawa perkembangan yang mempunyai arah tertentu adalah sama seperti yang diramal seperti perkembangan yang bermula dari kepala dan beransur – ansur ke bahagian kaki. Sebagai contoh, semasa berusia dua hingga enam bulan beliau telah dapat mengawal pergerakan kepala, meniarap, menjulur dan mengangkat badan menggunakan lengan semasa meniarap. Beliau juga turut berkongsi maklumat iaitu pada usia beliau 6 hingga 12 bulan, beliau sudah boleh untuk merangkak, berdiri, bertatih, berjalan serta memiliki kemahiran seperti berjalan dengan laju. Saiz kepalanya juga meningkat apabila meningkat dewasa dan beliau memiliki kepala yang agak besar kerana faktor baka menjadi penyebab kepada perkembangan saiz tersebut. Selain itu, perkembangan fizikal beliau juga berkembangan secara beransur – ansur sebagai contoh pada peringkat prenatal, bahagian – bahagian yang letaknya pada bahagian badan berkembang terlebih dahulu berbanding anggota luar yang lain seperti tangan dan kaki. Ketika bayi, beliau juga sukar untuk mencapai objek yang dilihat kerana mengikut teori perkembangan fizikal, pada ketika itu kawalan otot masih belum mantap dan sempurna menyebabkan objek yang hendak dipegang seringkali terjatuh atau terlepas dari genggamannya.

Selain daripada berat dan tinggi, perkembangan fizikal dari segi perkembangan motor, pertuturan, pengihatan, pendengaran dan keupayaan tambahan yang lain turut dijelaskan oleh beliau semasa temubual berlaku. Antaranya ialah semasa berumur sebulan hingga tiga bulan, beliau menggunakan kemahiran motor seperti menghisap jari, meniarap dan mengangkat dada, mencapai objek di depan mata serta mampu untuk mengangkat kepala apabila ditiarapkan. Dari segi penglihatan dan pendengaran juga, beliau mampu untuk mencapai tangan sendiri dan pergerakan mata serta koordinasi tangan dan mata. Beliau juga mampu untuk bergerak kearah bunyi serta memusingkan kepala kearah bunyi tersebut. Keupayaan tambahan yang dapat dilihat ialah mampu memberikan senyuman kepada orang lain dan mudah untuk terangsang dengan rangsangan visual.

Seterusnya pada usia lima hingga 10 bulan, telah banyak peningkatan terhadap kemahiran motor. Sebagai contoh, otot tangan semakin kuat dan berupaya untuk memasukkan objek ke dalam mulut, boleh memindahkan sesuatu objek ke tangan yang lain dan mampu duduk tegak dengan sokongan orang lain. Kemahiran motor ini semakin meningkat apabila menjangkau usia 10 bulan dimana beliau sudah boleh merangkak dan duduk tanpa sokongan dari sesiapa. Dari segi penglihatan dan pendengaran pula, beliau pada usia ini sudah mampu berpaling ke arah bunyi sejauh 45 cm darinya dan mampu untuk mendengar bunyi – bunyi lain seperti bunyi mainan jatuh. Keupayaan tambahan yang lain ialah beliau sudah mampu untuk mengenal orang sekeliling dan sudah mula takut pada orang yang tidak dikenali.
Selain itu, pada usia setahun hingga dua tahun, pembentukan otot dan kemahiran motor bayi semakin meningkat. Hal ini kerana, hasil daripada temubual yang dijalankan, beliau mengatakan bahawa pada usia ini beliau sudah mampu untuk berjalan tetapi pada mulanya berpaut pada sesuatu untuk menyokong beliau untuk berdiri. Peringkat – peringkat kemahiran otot kaki dan tangan semakin meningkat apabila beliau sudah mampu untuk berlari pada usia dua tahun dan menaiki tangga tanpa bantu dan sokongan. Keupayaan untuk makan dan minum sendiri dengan menggunakan kedua – dua belah tangan juga dapat dilihat pada usia setahun tiga bulan. Koordinasi mata dan tangan serta pembentukan otot yang kuat sangat aktif pada masa ini bagi membolehkan beliau untuk berlari apabila menjangkau usia dua tahun.
Pada peringkat kanak – kanak iaitu pada usia 7 hingga 12 tahun, gigi susunya juga sudah mula tanggal lalu digantikan dengan gigi kekal. Proses penukaran kepada gigi kekal ini berlanjutan sehingga beliau berusia 12 tahun. Berat badan beliau pada ketika ini ialah 30 kg manakala tingginya ialah 129 cm. Beliau mencapai akil baligh ketika berusia 12 tahun dan pada ketika ini, perubahan perkembangan secara fizikal berlaku dengan pesat. Pertambahan yang mendadak berlaku juga kepada berat badan dan ketinggian apabila mencapai usia remaja. Apabila sudah mencapai akil baligh, perubahan fizikal jelas kelihatan seperti surau semakin garau, pertumbuhan bulu pada ketiak dan alat kelamin, bermisai, berjanggut, bulu kaki dan juga kulit menjadi semakin kasar. Mengikut teori, pertumbuhan remaja lelaki semasa akil baligh lebih lama iaitu sehingga mereka berusia 21 tahun.
Fizikal beliau lebih dipengaruhi oleh faktor baka berbanding persekitaran. Jika dilihat saiz badannya tersebut melalui gambar keluarga, beliau lebih mengikuti ibunya iaitu berbadan kecil. Seterusnyam temubual tersebut turut mendapatkan maklumat mengenai berat badannya dan dia turut memaklumkan berat badannya hampir menyamai berat badan ibunya. Selain itu, ketinggian jika dilihat secara kasar dan berdasarkan saiz badan yang kecil dia memiliki ketinggian yang sama dengan ibunya dan adik beradik yang lain. Manakala, pertumbuhan gigi jika dilihat rekod pergigian keluarga tidak terdapat banyak perbezaan. Perkembangan fizikal tersebut diperhatikan melalui kuantitatif dan hasilnya dipengaruhi oleh baka. Disamping itu, perkembangan fizikal kualitatif iaitu peningkatan kemahiran fizikal seperti kebolehan sesuatu, berlari, koordinasi mata dan tangan dipengaruhi oleh persekitaran. Rakan sebaya menyatakan bahawa bakat dalam acara olahraga, sukan dan permainan diperolehi ketika di sekolah rendah.

3.2  Kognitif

Perkembangan kognitif merujuk kepada proses perkembangan keupayaan berfikir dan menaakul yang berlaku seiringan dengan perkembangan sosioemosi, fizikal, dan penguasaan kemahiran berbahasa. Menurut Berk (2006). Proses kognitif merupakan proses dalaman dan hasilan minda yang membawa kepada pengetahuan. Proses ini merangkumi “segala aktiviti mental iaitu mengingat, membuat perwakilan simbol, mengkategorikan, menyelesaikan masalah, mereka cipta, mengkhayalkan dan daya imaginasi”. Manakala perkembangan bahasa merujuk kepada kebolehan seseorang memahami perkataan dan struktur perkataan. Pada hakikatnya, penguasaan bahasa merupakan salah satu alat berfikir yang penting.

Berdasarkan temubual tersebut, beliau menyatakan bahawa pada peringkat kanak – kanak diusia 3 -4 bulan beliau sekadar bersuara balasan iaitu membalas apa yang dipercakapkan. Diusia seterusnya ialah 5 bulan beliau menyatakan bahawa beliau mulai meniru ekspresi wajah orang lain. Manakala, pada usia 9 – 12 bulan beliau sudah boleh menyatakan kehentak melalui bahasa yang kreatif tapi tidak difahami oleh orang lain. Beliau turut menyatakan kebolehan membaca pada usia 4-5 tahun iaitu kebolehan membaca buku sebanyak 2 buah buku sehari.

Oleh itu, bersesuaian dengan teori yang diberikan bahawa bahasa merupakan salah satu alat berfikir yang penting mengikut peringkat umur. Berdasarkan temubual tersebut, kebolehan bercakap berubah ubah dan sentiasa meningkat kebolehan tersebut dari hanya membalas, meniru, menyatakan dalam bahasa kreatif, menguasai lebih 1000 patah perkataan dan akhirnya boleh membaca dan berfikir secara sendiri.

3.3  Personaliti

Secara umum personaliti bermaksud sahsiah, keperibadian, atau perwatakan seseorang. Ia berasal daripada Bahasa Latin iaitu ‘persona’ yang bermaksud topeng muka yang digunakan oleh pelakon Yunani pada masa dulu untuk mewakili sesuatu perwatakan orang di pentas. Personaliti ialah ciri-ciri keseluruhan tingkah laku pada seseorang individu, tetapi berlainan dengan orang lain. Ia mewakili perwatakan seseorang individu dan dapat diperhatikan dan dinilai melalui tingkah laku. Di samping itu, ramai yang menyatakan personaliti adalah gerakbalas tingkah laku terhadap situasi tertentu. Oleh sebab itu, di kalangan ahli psikologi mempunyai pelbagai pendapat tentang pengertian personaliti.

Menurut pendapat Alder,personaliti merupakan gaya hidup seseorang individu. Manakala Gordon Allport menyatakan personaliti sebagai organisasi sistem psikologi yang dinamik dalam jiwa individu. Ia akan menentukan ciri-ciri tingkah laku dan penyesuaiannya dengan alam persekitaran. Pandangan Crow and Crow pula menyatakan personaliti seseorang adalah perwatakan fizikal, corak pertuturan dan daya penarik yang dimilikinya. Menurut Gage dan Berliner pula, personaliti merangkumi segala aspek tingkah laku manusia, keupayaan, sikap, pendapat, kepercayaan, kognitif dan emosi seseorang.

Menurut Carl Jung (1875-1961), manusia boleh diklasifikasikan kepada tiga kumpulan berdasarkan personaliti peribadi iaitu introvert, ekstrovert dan ambivert. Rakan sebaya yang ditemubual mempunyai personaliti peribadi ambivert iaitu individu daripada kumpulan ini mempunyai trait daripada kedua-dua jenis personaliti introvert dan juga ekstrovert. Mereka merupakan gabungan kedua-dua personaliti ini dan berkemungkinan bersifat seperti aktif, sensitif, optimistik suka berkawan tetapi memilih bekerja berseorangan, bertutur lancar tetapi berfikir sebelum bercakap atau memberi pendapat dan suka kepada kehidupan yang teratur. Apa yang membezakan ialah kadang-kadang individu dipengaruhi secara dominan daripada salah satu sifat di atas. 

Secara keseluruhannya, dalam perkembangan kendiri terdapat dua aspek iaitu aspek personaliti dan konsep kendiri. Kedua-dua aspek ini saling berkait rapat antara satu sama lain. Aspek personaliti merupakan gabungan daripada berbagai sifat dan konsep kendiri seseorang. Individu yang mempunyai konsep kendiri positif akan menghasilkan personaliti yang bersesuaian dengan keperluan persekitaranya. Personaliti seseorang dapat dikenali dengan cara tingkah laku, gaya percakapan dan sebagainya.


   Seterusnya, aspek konsep kendiri pula meliputi keseluruhan perkembangan personaliti seseorang individu. Aspek-aspek ini adalah penting bagi menimbulkan kesedaran guru pelatih terhadap kepentingan mempunyai konsep kendiri yang positif adalah sangat penting supaya dapat  bersedia menghadapi cabaran sebenar dalam dunia pendidikan.

No comments:

Post a Comment