Kata-kata

"Jika ada sebutir pasir, jadikan ia mutiara", "Jika ada segengam tanah, jadikan ia gunung", "Jika ada setitis air, jadikan ia lautan","Jika ada satu huruf, jadikan ia ayat", "Jika ada sepotong ayat, jadikan ia azimat".

Monday 21 March 2016

KESUSASTERAAN MELAYU

1.0  KESUSASTERAAN MELAYU

Kesusasteraan  Melayu merujuk kepada hasil karya dan ciptaan seni yang terdapat dalam kalangan masyarakat Melayu. Dalam masyarakat Melayu tradisional, sastera bersatu dan berintegrasi dalam kehidupan seharian mereka. Sebagai contoh, seorang ibu yang menidurkan bayinya secara sengaja atau tidak, akan menyanyikan balada-balada yang berirama dan merdu. Seorang dukun yang membacakan mantera untuk menyembuhkan orang sakit secara sedar atau tidak, akan melagukan puisi yang indah dan berirama. Dalam upacara perkahwinan pula, ketika wakil keluarga pengantin perempuan berbicara dengan wakil keluarga pengantin lelaki, hadirin sebenarnya menyaksikan satu adengan dramatik dengan bahasa yang menarik dan indah. Pada hari ini, hubungan sastera dengan kehidupan merupakan satu perkara yang menjadikan perbincangan pula. Sebaliknya, dalam masyarakat tradisional, sastera memainkan peranan yang besar dan tidak terpisah secara lahiriah daripada kepercayaan, kegiatan mencari nafkah, pekerjaan, permainan dan sebagainya. Melalui penghayatan yang lebih baik terhadap kehidupannya, manusia diharapkan dapat menghasilkan yang lebih sejahtera.


1.1  Konsep Kesusasteraan

Sastera merupakan satu bidang seni kreatif di mana bahasa adalah medium pengantarnya. Sastera boleh dikenali dengan beberapa unsur khusus yang mampu membentuk tamadun dan peradaban sesuatu masyarakat selain memperlihatkan sikap dan pandangan pengarangnya. Sastera Melayu mempunyai seni bahasa yang indah dan tersusun. Diksi yang digunakan dapat memberi kesan penghayatan kepada pembaca. Ianya mempamerkan kepakaran dan keahlian seorang pengarang itu untuk meluahkan dan mengungkapkan makna yang difikirkan.  Adunan teknik-teknik yang sesuai dan ketepatan diksi  menjadikan sesebuah karya itu hidup dan bertenaga.  Sastera juga mempunyai unsur tersurat dan tersirat. Sastera tidak terhasil dengan  kekosongan dan ianya terhasil atas dorongan tertentu dengan menggunakan sumber-sumber yang terdapat di persekitaran. Namun tidak semua lambang yang tersurat itu memberi erti apa yang tersirat. Akan wujud makna-makna simbolik di sebalik kata-kata yang diungkapkan.

1.2  Ciri Kesusasteraan

Penyebaran secara lisan kesusasteraan Melayu ini masih dikekalkan walaupun ada sesetengah bahan kesusasteraan rakyat telah diterbitkan dalam bentuk tulisan, namun asal bahan tersebut tersebar dikalangan masyarakat menerusi. Ada juga hasil yang masih lagi tersebar secara lisan hingga kini walaupun sebahagian ceritanya telah dibukukan. Oleh sebab disebarkan secara lisan, unsur tokok-tambah tidak dapat dielakkan , sehinggakan apa-apa yang dituturkan itu sudah menjadi satu versi yang tersendiri. Oleh sebab kesusasteraan rakyat wujud dalam bentuk tokok-tambah oleh penutur dan pendukungnya, karya tersebut sudah menjadi milik bersama masyarakatnya. Kesusasteraan rakyat yang menjadi milik bersama masyarakat secara tidak langsung juga menggambarkan segala pemikiran, perasaan, nilai dan falsafah hidup masyarakatnya. Penyataan tersebut mungkin dilahirkan secara terus terang atau secara tersirat.
Oleh sebab kesusasteraan rakyat wujud dan berkembang melalui media lisan, penutur biasanya tidak berkesempatan menapis apa-apa yang dituturkan ketika berhadapan dengan pendengar atau khalayak. Oleh itu, sifatnya cukup sederhana dan seadanya, terlalu spontan dan kadangkala kelihatan kasar. Kesusasteraan rakyat juga wujud dalam bentuk tradisi tekal. Cerita mitos pula merupakan cerita tentang asal usul kepercayaan sesuatu masyarakat. Dengan itu, klasifikasi kesusasteraan rakyat adalah berdasarkan formula dan pola yang tertentu. Kesusasteraan rakyat juga bersifat pralogis, iaitu mempunyai logika yang tersendiri yang mungkin tidak sesuai dengan logika umum. Oleh itu, pandangan dan tanggapan masyarakat lain tidak penting kepada pertumbuhan dan perkembangan kesusasteraan rakyat sesuatu masyarakat. Kesusasteraan rakyat juga mempunyai kegunaan dalam kehidupan bersama sesuatu masyarakat. 

1.3  Jenis dan Bentuk Kesusasteraan

Jenis dan bentuk kesusasteraan berbeza-beza kerana masing-masing memiliki unsur-unsur khusus yang membentuk pola secara berbeza untuk tujuan yang tertentu pula. Seperti yang telah disebut sebelum ini, karya sastera sebagai hasil seni mempunyai tiga ciri utama, iaitu bersifat imaginasi, adanya nilai-nilai seni dan kreativiti serta nilai estetik dari segi penggunaan bahasa. Dari segi jenis dan bentuk kesusasteraan Melayu itu sendiri, ia dapat digolongkan kepada tiga kategori utama, iaitu kesusasteraan Melayu tradisional, kesusasteraan Melayu klasik dan kesusasteraan Melayu moden.

1.3.1      Pantun
Pantun merupakan puisi tradisional Melayu yang paling popular. Hal ini disebabkan oleh sifatnya yang asli. Keaslian yang dimaksudkan adalah kerana pantun hanya dijumpai pada bangsa Melayu Nusantara sahaja. Sejak orang Melayu belum tahu menulis surat lagi, mereka telah pun pandai berpantun dan kerap berbalas pantun sesama mereka. Contoh pantun yang dipilih ialah Pantun Mari Membaca.

Bunga melur dalam jambangan,
Di tepi kolam menjadi hiasan.
Kucipta pantun buat renungan,
Semarak Nilam empunya wawasan.

Dua baris maksud menggambarkan penulis menuliis pantun ini adalah untuk mengajak pembaca tentang pentingnya budaya membaca. Seterusnya ialah program NILAM merupaka program Nadi Ilmu Amalan Membaca menitikberatkan budaya membaca. Menerusi pantun ini, dua baris maksud ini dapatlah disimpulkan bahawa program NILAM ini mempunyai hala tuju dan dapat memupuk amalan membaca dalam kalangan rakyat Malaysia
Manakala pada bahagian pembayangnya pula, berkemungkinan bunga melur penulis menjadikan hiasan dan diletakkan ditepi kolam.

Mekar sejambak bunga gubahan,
Jatuh sekuntum di atas peti,
Membaca itu suruhan Tuhan,
Al-alaq diturun menjadi bukti.

Maksud dua baris dalam rangkap diatas ialah penulis memberitahu pembaca bahawa membaca itu ialah menjadi suruhan Tuhan supaya menuntut ilmu dengan membaca. Penulis juga menyatakan surah dalam Al-Quran iaitu surah Al-Alaq yang telah diturunkan oleh Allah S.W.T yang menuntut manusia supaya membaca. Dapat disimpulkan bahawa dalam agama Islam dan telah dinyatakan dalam Al-Quran yang menyuruh manusia supaya membaca.
            Manakala, pada bahagian pembayangnya pula, bunga melur yang dijadikan hiasan oleh penulis  mekar kesemuanya dan dijadikan bunga gubahan. Sekuntum bunga melur yang mekar tersebut jatuh di atas peti.

Cerana kesumba indah melati,
Cantik tersemat dambaan puteri,
Ilmu ditimba sepenuh hati,
Kekuatan umat minda bestari.

Penulis menyeru kepada pembaca supaya bacalah dan timbalah ilmu sepenuh hati supaya ilmu yang diperolehi itu mampu disampaikan kepada orang lain. Seterusnya, penulis turut menyatakan bahawa kekuatan seseorang itu terletak pada mindanya yang cerdas. Dapat disimpulkan bahawa ilmu diperolehi sekiranya hati pembaca itu ikhlas inginkan sesuatu ilmu dan dengan membaca juga membolehkan minda seseorang pembaca itu cerdas.
            Manakala pada dua baris pembayang pula penulis berkemungkinan melihat bunga melati yang cantik dan anak perempuannya menyelit ditepi telinga untuk menjadi hiasan.

Harum sungguh bunga kemboja,
Bunga karangan cantik tersemat,
Janganlah membaca kulit sahaja,
Telitilah kandungan sehingga tamat.

Penulis mengarang dua baris maksud adalah untuk memberitahu pembaca supaya tidak membaca tajuk buku sahaja kerana tajuk sesebuah buku itu tidak menceritakan keseluruhan cerita buku tersebut, tetapi bacalah isi kandungannya juga kerana kita dapat memahami dan memperolehi isi yang berguna. Dapat disimpulkan keseluruhan cerita dapat diketahui dengan membaca keseluruhan buku tersebut bukannya hanya menilai kulit buku tersebut.
            Manakala pada dua baris pembayangnya pula berkemungkinan penulis menghidu haruman bunga kemboja di taman rumah penulis dan penulis mungkin menjadikan bunga kemboja sebagai bunga gubahan yang cantik tersemat.

Mekar angsana pandang tak jemu,
Bunganya luruh ke dalam raga,
Buku laksana lautan ilmu,      
Dasarnya penuh mutiara berharga.

Penulis mengarang dua baris maksud bagi menanam sikap membaca dalam kalangan masyarakat bahawa segala ilmu yang ingin diperolehi terdapat dalam buku. Ilmu yang terdapat dalam buku penulis ibaratkan dipenuhi dengan mutiara yang berharga. Dapat disimpulkan bahawa ilmu itu sangat berharga dan sekiranya tidak membaca, sesorang itu boleh dianggap terlepas sesuatu yang sangat berharga.
            Manakala pada dua baris pembayang pula dapat menggambarkan bahawa penulis berada ditaman dan terpandang bunga angsana yang membuatkan pandangan penulis tidak jemu menlihat bunga tersebut dan bunga-bunga angsana yang mekar itu gugur di dalam raga yang diletakkan dibawah pokok tersebut.

Daun nipah kajangnya rapat,
Hidangan tetamu di Kuala Maran,
Buku menyimpan berjuta maklumat,
Fakta, ilmu, cereka hiburan.

Dua baris maksud penulis cuba menyampaikan kepada pembaca bahawa buku menyimpan jutaan maklumat yang terdiri dalam pelbagai bentuk termasuklah fakta, ilmu dan juga berbentuk hiburan. Dapat disimpulkan bahawa buku bukanlah mengandungi bahan rujukan atau ilmu sahaja tetapi turut terdapat hiburan.
            Pada bahagian pembayang pula penulis disajikan dengan hiasan dari daun nipah yang menjadi tatapan kepada tetamu sekiranya berkunjung ke Kuala Maran.

Anak muda pulang ke desa,
Ibu dan ayah lama menanti,
Warga membaca tak buang masa,
Khutub khanah teman sejati.

Maksud dua baris dalam rangkap diatas adalah untuk memberitahu pembaca bahawa aktiviti atau hobi membaca bukanlah sesuatu yang membuang masa malah menjadi teman yang sejati. Dapat disimpulkan bahawa membaca merupakan satu aktiviti yang berfaedah bukanlah sesuatu yang sia-sia.
            Dua baris pembayang berkemungkinan penulis melihat anak-anak muda mula pulang ke kampong halaman dan ibu dan ayah telah lama menanti kepulangan anak-anak mereka.


Pohon pedada di dalam taman,
Jadi idaman si anak rusa,
Marilah anakanda marilah teman,
Kita membaca sepanjang masa.

Dalam rangkap ini, dua baris maksud penulis mengajak anak-anak muda untuk menjadikan amalan membaca sebagai amalan harian. Hal ini menunjukkan bahawa amalan membaca dalam kalangan anak-anak muda masih kurang menarik perhatian mereka.
            Pembayangnya pula penulis menggambarkan mengenai pohon pedada di dalam taman yang menjadi makanan kepada anak rusa.

Meniti senja biasan mentari,
Merkah setitis menjelang kabut,
Bacalah baca setiap hari,
Tak akan habis ilmu dituntut.

Maksud dalam rangkap ini penulis menyeru supaya membacalah pada setiap hari kerana ilmu itu masih banyak dan tidak pernah habis ilmu yang diinginkan. Hal ini menunjukkan bahawa ilmu itu terlalu banyak dan menyeru supaya mendapatkan sebanyak mungkin ilmu di dunia ini.
            Dua baris pembayang mengambarkan penulis menikmati suasana petang yang dihiasi oleh hiasan mentari di langit dan semakin menghilang.

Cantik sungguh si bunga kejora,
Buat hiasan di hari raya,
Marilah sahut seruan negara,
Bangsa membaca bangsa berjaya.

Penulis juga mengajak pembaca dalam rangkap ini untuk menyahut seruan kerajaan yang menjalankan program NILAM bagi membantu memupuk amalan membaca. Penulis juga menyatakan bahawa bangsa membaca ialah bangsa yang Berjaya kerana banyak ilmu yang diperolehi.
Baris pembayang pada rangkap terakhir ini berkemungkinan semasa penulis melihat senja melabuhkan tirainya, mata penulis menangkap bunga kejora yang begitu cantik dan boleh dijadikan hiasan semasa hari raya.

1.4  Fungsi sastera


Sastera berfungsi sebagai medium hiburan masyarakat zaman dahulu bagi memenuhi masa lapang setelah penat bekerja disiang hari. Selain itu juga, sastera turut berfungsi untuk mendidik, menyindir, menyatakan perasaan dan menyampaikan buah fikiran. Sastera pada dahulunya disampaikan secara lisan dan pada hari ini, banyak bahan sastera telah dibukukan bagi memudahkan lagi untuk disampaikan sesuai dengan arus pemodenan. 

No comments:

Post a Comment