Kata-kata

"Jika ada sebutir pasir, jadikan ia mutiara", "Jika ada segengam tanah, jadikan ia gunung", "Jika ada setitis air, jadikan ia lautan","Jika ada satu huruf, jadikan ia ayat", "Jika ada sepotong ayat, jadikan ia azimat".

Wednesday 1 April 2015

Morfologi : Kajian Cerpen

1.0  Pengenalan

Bahasa ialah kepunyaan masyarakat yang menuturkannya. Semakin besar jumlah penuturnya, semakin luas daerah penyebaran bahasa itu, dan semakin banyak pula perbezaan yang wujud dari segi penggunaannya. Demikian juga halnya dengan bahasa Melayu. Bidang morfo-sintaksis merupakan gabungan ilmu morfologi dan sintaksis yang berkaitan dengan pembentukan perkataan dan pembinaan ayat. Gabungan ilmu morfologi dan sintaksis menjadi inti penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran aspek tatabahasa di dalam bilik darjah seterusnya penggunaannya yang meluas dalam kehidupan sehari-harian seseorang pelajar. Morfologi merupakan antara cabang linguistik yang mengkaji struktur pembentukan kata. Tatabahasa Dewan edisi baharu mendefinisikan morfologi sebagai bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur, bentuk, dan penggolongan kata. Kamus Dewan edisi ketiga menjelaskan pengertian morfologi sebagai kajian tentang pembentukan kata dalam sesuatu bahasa, termasuk infleksi, terbitan, dan pemajmukan. Morfologi ialah satu bidang ilmu yang mengkaji bentuk perkataan, struktur kata dan penggolongan kata. Dengan struktur kata dimaksudkan susunan bentuk bunyi ujaran atau lambang (tulisan) yang menjadi unit tatabahasa yang bermakna. Dengan penulisan karya kreatif aspek morfologi digunakan untuk melahirkan Bahasa yang gramatis. Bahasa yang gramatis dating daripada kreativiti seseorang penulis untuk melahirkan kecekapan dalam bidang penulisan.

2.0  Konsep Morfologi

Menurut Siti Hajar Hj. Abdul Aziz (1996) tatabahasa ialah peraturan-peraturan bagaimana sesuatu perkataan dibentuk dan bagaimana perkataan itu bergabung dengan perkataan-perkataan lain untuk menghasil ayat-ayat yang gramatis. Dengan kata lain, tatabahasa ialah rentetan ucapan, pengelompokan serta pengklasifikasian unsur-unsur ucapan menurut fungsinya. Mengikut konsep tradisional pula tatabahasa ialah satu cara mengkaji bahasa berdasarkan hukum-hukum yang telah dibuat terhadap bahasa itu berdasarkan makna.

 Manakala Abdullah Hassan ( 2005 ), pula mentakrifkan mofologi sebagai bidang linguistik yang mengkaji bagaimana perkataan di bina. Kajian ini dilakukan terhadap unsur-unsur yang membentuk perkataan, proses-proses membentuk perkataan dan bentuk-bentuk perkataan yang dihasilkan. 

Menurut Nik Safiah Karim (1996), beliau mendefinisikan morfologi ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji tentang struktur, bentuk, dan penggolongan kata. Kamus Dewan Edisi Keempat (2005) mendifinisikan morfologi ialah satu kajian tentang pembentukan kata dalam sesuatu bahasa, termasuk infleksi (pengimbuhan), terbitan, dan pemajmukan. Manakala Hj. Sabran dan Rahim Syam (1985) mendefinisikan morfologi ialah satu bidang dalam kajian bahasa yang mengkaji tentang perkataan dan cara-cara pembentukanya.

Buku Tatabahasa Dewan (2004) mendefinisikan morfologi ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur, bentuk dan penggolongan kata. Dengan struktur kata dimaksudkan susunan bentuk bunyi ujaran atau lambang (tulisan) yang menjadi unit bahasa yang bermakna. Bentuk kata pula ialah rupa unit tatabahasa (morfem), sama ada berbentuk tunggal atau hasil daripada proses pengimbuhan, pemajmukan dan penggandaan. Penggolongan kata ialah proses menjeniskan perkataan berdasarkan keserupaan bentuk atau fungsi dengan anggota lain dalam golongan yang sama.

Kesimpulannya, yang saya faham tentang bidang morfologi ialah kajian tentang proses pembentukan kata yang akan melalui proses penyusunan morfem atau unit-unit tatabahasa yang menjadi unsur perkataan dari segi struktur, bentuk dan penggolongan kata sebagai prosesnya. Pengimbuhan juga membantu proses pembentukan perkataan. Melalui proses-proses tersebut akan menghasilkan pembentukan perkataan yang bermakna sebagai hasil yang dicapai dalam proses yang dilalui tersebut.


3.0  Kajian Cerpen
Sebutir Pasir Di Hujung Jari berkisahkan mengenai penulis serta ibu dan ayahnya menetap diatas sebidang tanah tepi pantai yang merupakan kepunyaan ayahnya. Pada permulaan cerpen Sebutir Pasir Di Hujung Jari menceritakan mengenai sikap ayah penulis yang begitu degil. Selain itu, permulaan cerpen ini turut menyelitkan sejarah kelahiran ayah penulis yang lahir pada tahun-tahun akhir zaman penjajahan British. Ibu penulis menyatakan bahawa kelahiran ayah beberapa minit sebelum  masuk waktu solat Jumaat dianggap detik yang terbaik bagi penduduk kampungnya. Dengan suasana yang penuh meriah dan warna warni, penulis memberi gambaran bahawa kelahiran ayahnya diingati seperti kanak-kanak mengingati cerita Aladin dan lampu ajaib yang merentasi zaman. Malah, penduduk kampung yang masih ada boleh menceritakan secara terperinci mengenai kelahiran ayah penulis dan bagaimana keadaan ayah penulis yang tidak menangis ketika dilahirkan. Ini memberi gambaran kepada orang kampung bahawa bayi yang menangis ketika dilahirkan kerana takut melihat kejahatan dunia dan keadaan ayah penulis yang tidak menangis menggambarkan ayah penulis dilahirkan dalam keadaan sejahtera, aman dan damai yang terdapat di kampung di tepi pantai. Namun terdapat pertikaian mengenai tahun kelahiran ayah penulis yang dinyatakan oleh saudara perempuan sebelah ibu penulis bahawa ayahnya lahir pada tahun 1963 iaitu pada tahun bendera Union Jack diturunkan oleh pihak British di Padang Merdeka. Namun, ibu penulis membetulkannya bahawa ayah penulis dilahirkan pada tahun 1962 kerana masyarakat pada zaman dahulu menghadapi kesukaran untuk mendaftarkan anak mereka yang baru lahir dan perkara ini menyebabkan ayah penulis didaftarkan lewat satu tahun. Cerpen ini turut menyatakan kebencian ibu penulis kepada penjajah British yang hanya tahu mengaut kekayaan hasil bumi dan masyarakat pribumi yang menjadi duri dalam daging kepada penjajah sehingga dinafikan hak untuk menetapkan tarikh kelahiran masyarakat sendiri. Ibu penulis turut menceritakan bahawa terdapat beberapa orang melawat ke perkampungan mereka termasuk tanah milik ayahnya dipesisir pantai yang telah diwariskan kepada penulis kerana penulis merupakan anak tunggal. Penulis teringat akan ayahnya menyuruh penulis mengambil sebutir pasir dan memberitahu bahawa harganya tidak semurah itu. Penulis turut teringat mengenai kuih rangin yang dibuat oleh ibunya dan dialog ibunya yang menyuruh penulis menghantar ke rumah jiran yang membawa maksud tersirat seperti yang dimaksudkan oleh ayahnya  walaupun ibunya tidak pernah bercerita mengenai sebutir pasir.

3.1  Analisis Golongan Kata

Penggolongan kata ialah proses menjeniskan perkataan berdasarkan keserupaan bentuk dan fungsi dengan anggota lain atau golongan yang sama. Golongan kata dalam bahasa Melayu terbahagi kepada empat kelas utama iaitu kata namakata kerjakata adjektif dan kata tugas. Ini berdasarkan huraian bahawa kata nama, kata adjektif, dan kata kerja dapat berdiri sendiri dengan makna sepenuhnya. Manakala kelas kata yang lain seperti kata sendi, kata keterangan, kata hubung, kata seru dan kata sandang pula tidak dapat berdiri sendiri dengan makna sepenuhnya, tetapi dapat bertugas untuk menentukan makna sesuatu ayat. Dalam cerpen Sebutir Pasir Di Hujung Jari karya Jasni Matlani banyak menggunakan golongan kata seperti kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas.

3.1.1      Kata Nama
Kata nama ialah perkataan yang boleh menjadi unsur inti bagi binaan frasa nama dan lazimnya perkataan demikian menamakan orang, haiwan, tempat, benda atau konsep. Kata nama terbahagi kepada empat bahagian yang besar iaitu nama am, nama khas, ganti nama dan nama terbitan.






3.1.1.1  Kata Nama Khas
Kata nama khas mendukung makna rujukan khusus pada sesuatu nama orang, haiwan, benda, perbadanan (institusi), undang-undang, bangsa, Bahasa, pangkat dan seumpamanya. Kata nama khas boleh dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kata nama khas hidup dan kata nama khas tak hidup. Kata nama khas tak hidup boleh dibahagikan lagi kepada kata nama khas hidup manusia dan kata nama khas hidup bukan manusia.
Kata Nama Khas
(contoh berdasarkan cerpen “Sebutir Pasir Dihujung Jari”)
contoh:
1.Hidup
Manusia
Pak Su, Pak Ngah, Mak Long

bukan manusia
-tiada dalam cerpen-
2.Tak hidup

British, Union Jack, Padang Merdeka

3.1.1.2  Kata Nama Am
Kata nama am ialah perkataan yang merujuk benda, perkara, atau konsep yang umum sifatnya. Kata nama am boleh dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil berdasarkan ciri makna perkataannya iaitu hidup atau tak hidup, manusia atau bukan manusia, institusi atau bukan institusi, konkrit atau abstrak, berbilang atau tak berbilang.
Kata Nama Am
(contoh berdasarkan cerpen Sebutir Pasir Dihujung Jari”)
Contoh:
1.hidup
Manusia
Ayah, ibu, penjajah, masyarakat, penduduk

bukan manusia
Tiada dalam cerpen
2.tak hidup
Institusi
Pejabat

bukan institusi
abstrak
Ketakutan, kesedihan, keletihan, roh, jasad, kekuatan

konkrit
Pekan, pantai, negeri, perkampungan

3.1.1.3  Kata Ganti Nama
Kata ganti nama ialah perkataan yang menjadi pengganti kata nama khas dan kata nama am. Kata ganti boleh dibahagikan lagi kepada dua golongan kecil iaitu kata ganti nama tunjuk dan diri. Kata ganti nama tunjuk boleh dibahagikan kepada kata ganti nama tunjuk umum dan kata ganti nama tunjuk tempat. Kata ganti nama diri pula dibahagikan lagi kepada orang dan Tanya. Kata ganti nama diri orang pula terdiri daripada orang pertama, kedua dan ketiga.

Kata Ganti Nama
(contoh berdasarkan cerpen “Sebutir Pasir Dihujung Jari”)
contoh ayat
1.Kata ganti nama tunjuk
Umum
Itu, ini
1. Dia tidak lahir pada tahun itu
2. Mungkin ini kepercayaan kuno

tempat

sana,sini
1. Hantar ke rumah Mak Long diseberang sana.
2. Bukan, tetapi di sini
2.Kata ganti nama diri
Tanya
Adakah
1. Adakah kamu kehilangan sesuatu?


Orang
pertama
aku
1. Aku menyentuh sebutir pasir


kedua
Kamu, kami
1. Ayah kamu, tidak menangis ketika dilahirkan
2. Di kampung kami


ketiga
mereka,dia
1. Tetapi dia tersenyum
2. Mendaftarkan anak mereka


3.1.2      Kata Kerja
Kata kerja merupakan kata yang menjadi inti dalam frasa kerja, sama ada yang berlaku atau dilakukan. Contohnya, berjalan, makan, memakan, dimakan dan sebagainya. Kata kerja terbahagi kepada, kata kerja transitif  dan kata kerja tak transitif.

Kata Kerja:
Contoh dalam Petikan Cerpen:
1.    Kata Kerja Transitif Aktif

Memerhati, menyentuh, melihat, memandang
2.    Kata Kerja Transitif Pasif

Tiada dalam petikan
3.    Kata Kerja Tak Transitif Tanpa Pelengkap

Dikeluarkan, menjemput
4.    Kata Kerja Tak Transitif Berpelengkap
Berkumpul

3.1.3      Kata Adjektif
Adjektif ialah kata yang menjadi inti dalam frasa adjektif seperti manis sekali, sudah lama sungguh, masih lebat lagi (kata yang menjadi inti frasa digariskan di bawahnya). Kata-kata dalam golongan kata adjektif menerangkan keadaan atau sifat sesuatu nama atau frasa nama. Kata adjektif boleh dikenali jika kata berkenaan didahului oleh kata penguat seperti amat, sangat, sungguh, sekali, paling, agak, benar.
Jenis Kata Adjektif:
Contoh dalam Petikan Cerpen:
1.    Sifat
Jujur, lembut
2.    Warna
Berkilau
3.    Bentuk
Kecil, halus, aneh, ganjil, seketul
4.    Waktu
Suatu hari, setiap saat, setiap hari
5.    Keadaan
Meriah, panas, dahsyat, indah,
6.    Rasa
Pahit

3.1.4      Kata Tugas
Kata tugas mendukung sesuatu tugas tertentu dalam binaan frasa, klausa dan ayat.  Antara fungsi kata tugas termasuklah menegaskan sesuatu, menyatakan bilangan, menanyakan sesuatu, menguatkan maksud, memberi maklumat tambahan, menyambung ayat atau bahagian-bahagian ayat, dan lain-lain sebagainya.
Kata Tugas:
Contoh dalam Petikan Cerpen:
1.    Kata Hubung Gabungan
Dan, atau
2.    Kata Hubung Pancangan Relatif
Yang
3.    Kata Hubung Pancangan Komplemen
Bahawa, untuk
4.    Kata Hubung Pancangan Keterangan musabab
Kerana
5.    Kata Hubung Pancangan Keterangan Akibat
Sehingga
6.    Kata Hubung Pancangan Keterangan Syarat
Tetapi
7.    Kata Hubung Pancangan Keterangan Waktu
Tiada dalam cerpen
8.    Kata Hubung Pancangan Keterangan Pertentangan
Tiada dalam cerpen
9.    Kata Hubung Pancangan Keterangan Harapan
Supaya
10.  Kata Hubung Pancangan Keterangan Cara
Dengan
11.  Kata Hubung Pancangan Keterangan Tujuan
Sebagai
12.  Kata Hubung Pancangan Keterangan Perbandingan
Seperti
13.  Kata Seru
Tiada dalam cerpen
14.  Kata Tanya
Adakah, kenapa, siapakah, bagaimana
15.  Kata Perintah
Ambillah
16.  Kata Pembenar
Ya
17.  Kata Pangkal Ayat
Hatta
18.  Kata Bantu Aspek
Masih, sudah
19.  Kata Bantu Ragam
Dapat
20.  Kata Penguat  Hadapan
Agak
21.  Kata Penguat Belakang
Sekali
22.  Kata Penguat Bebas
Amat
23.  Kata Penegas
Tiada dalam cerpen
24.  Kata Nafi
Tidak
25.  Kata Pemeri
Ialah
26.  Kata Sendi Nama
Untuk, di, ke, dari, dengan, oleh
27.  Kata Arah
Tepi, pinggir
28.  Kata Bilangan Tentu
30-an
29.  Kata Bilangan Tak Tentu
Beberapa
30.  Kata Bilangan Himpunan
Sekurang-kurangnya
31.  Kata Bilangan Pisahan
Satu persatu
32.  Kata Adverba Jati
Begitu. Dahulu
33.  Kata Adverba yang Asalnya Kata Adjektif
Petah bercakap, berwajah lembut
34.  Kata Adverba yang Asalnya Kata Kerja
Tiada dalam cerpen
35.  Kata Adverba Bentuk Gandaan
Seolah-olah, tahun-tahun
36.  Kata Penekan
Ada kalanya
37.  Kata Pembenda
Sejarahnya, sebelumnya, mengetahuinya,

3.2  Mengklasifikasikan Jenis Imbuhan Dan Bentuk Kata

3.2.1      Jenis Imbuhan
Menurut Nik Safiah Karim dan rakan (1996), proses pembentukan kata dalam sesuatu bahasa merupakan proses penyusunan morfem menurut peraturan sistem morfologi bahasa itu. Dalam kebanyakan bahasa, proses pembentukan kata melibatkan pengimbuhan.
Imbuhan bermaksud unit-unit Bahasa tertentu yang ditambahkan pada bentuk-bentuk lain yang menyebabkan perubahan makna nahunya.

Jenis Imbuhan:
Contoh dalam Petikan Cerpen:
1.    Imbuhan Awalan Kata Nama
Penjajah
2.    Imbuhan Awalan Kata Kerja
Mendengar
3.    Imbuhan Awalan Kata Adjektif
Berkilau
4.    Imbuhan Akhiran Kata Nama
Jajahan
5.    Imbuhan Akhiran Kata Kerja
Dengarkan
6.    Imbuhan Akhiran Kata Adjektif
Berkilauan
7.    Imbuhan Apitan Kata Nama
Penjajahan
8.    Imbuhan Apitan Kata Kerja
Memdengarkan
9.    Imbuhan Sisipan Kata Nama
Tiada dalam cerpen
10.  Imbuhan Sisipan Kata kerja
Tiada dalam cerpen
11.  Imbuhan Sisipan Kata Adjektif
Tiada dalam cerpen


3.2.2      Bentuk Kata
Definisi bentuk kata oleh Nik Safiah Karim dan rakan (1996), kata ialah satu unit ujaran yang bebas dan mengandungi makna, yang terdiri daripada satu atau gabungan beberapa bentuk bunyi Bahasa.
Bentuk Kata:
Contoh dalam Petikan Cerpen:
1.    Kata Tunggal
Ayah, masuk, rumah, bilik
2.    Kata Terbitan
Belahan, puluhan
3.    Kata Majmuk
Penghulu hari
4.    Kata Ganda
Tiba-tiba, celah-celah, tahun-tahun

3.3  Analisis Isu Penggunaan Kata

Berdasarkan cerpen yang dikaji iaitu cerpen “Sebutir Pasir DiHujung Jari” karya Jasni Matlani, isu penggunaan kata yang terdapat dalam cerpen ini berkaitan isu penggunaan kata “ialah” dan “adalah”. Berdasarkan cerpen ini, pembaca tidak dapat membezakan untuk meletakkan penggunaan “ialah” dan “adalah”. Dua kata ini merupakan kata pemeri. “Ialah” digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama, manakala “adalah” digunakan di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama seperti untuk, pada, dalam, dengan dan sebagainya. Contoh ayat penggunaan kata “ialah” dalam cerpen “Sebutir Pasir Dihujung Jari” ialah;

i.              “Hari Jumaat ialah penghulu segala hari, tetapi aku percaya bahawa semua hari dalam seminggu adalah baik.”.

ii.             “Tidak kira hari itu ialah hari Jumaat atau hari lain dalam seminggu.”

iii.            “Barangkali yang lahir bersama-samanya ialah kesejahteraan hidup.”

Contoh yang pertama penggunaan “ialah” menepati maksud penggunaannya yang sebenar iaitu digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama dan Jumaat merupakan kata nama khas. Contoh yang kedua penggunaan “ialah” dalam cerpen ini menunjukkan penggunaan selepas kata “itu”. “Itu” merupakan kata ganti nama tunjuk umum yang jelas bertentangan dengan maksud penggunaan ialah. Contoh yang kedua melibatkan penggunaan adalah namun penulis menggunakan ialah. Contoh yang ketiga juga sama dengan situasi contoh yang kedua. Bagi contoh penggunaan “adalah” dalam cerpen ini ialah;

i.             “Malah bagiku, hal itu adalah lebih baik, kerana aku tidak bergaduh dan berebut kasih saying dengan adik-adikku.”
Contoh penggunaan “adalah” dalam cerpen ini bertepatan dengan maksud penggunaan adalah iaitu digunakan di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama seperti untuk, pada, dalam, dengan dan sebagainya.
Kesimpulannya, penulis seharusnya peka mengenai penggunaan kata “ialah” dan “adalah” kerana golongan pembaca bukan sahaja terdiri daripada golongan dewasa, malah turut melibatkan golongan remaja dan kanak-kanak. Hal ini akan menyebabkan mereka tidak tahu untuk menggunakan kata tersebut dalam penulisan. Penggunaan “ialah” dan “adalah” dalam cerpen “Sebutir Pasir Dihujung Jari” menyebabkan pembaca tidak dapat memahami serta menggunakan kata “ialah” dan “adalah” secara tepat dalam penulisan karya.


4.0  Penutup

Bahasa  mempunyai pengaruh yang kuat dalam sesebuah masyarakat.  Hal ini dapat dilihat bahasa  mempunyai kuasa untuk mendukung , meneruskan serta mengekalkan identiti budaya bagi sesebuah masyarakat itu. Sehubungan dengan ini, pelbagai usaha dan program dilaksanakan untuk  memperkasa serta  memartabatkan bahasa Melayu  sebagai bahasa kebangsaan. Salah satu langkah yang paling berkesan ialah melalui pendidikan dan orang yang bertanggungjawab tidak lain dan tidak bukan ialah pendidik atau guru.  Justeru itu , seseorang pendidik itu mestilah melengkapkan  atau memantapkan diri dengan ilmu keintelektualan sebelum disampaikan kepada anak didiknya  kerana melalui pendidikan , seseorang itu dilengkapkan dengan kemahiran dan kepakaran tertentu yang diperlukan untuk pembangunan ekonomi dan masyarakat.  Ini kerana, masyarakat yang berilmu dapat menjamin kemajuan sosial dalam sesebuah negara.  Oleh hal demikian, seseorang guru itu perlu merancang dengan teliti perancangan pengajaran untuk melahirkan individu yang berwatak mulia, progresif serta mempunyai keupayaan intelek yang tinggi, dan bukan melemahkan daya intelektual pelajar itu sendiri.

Jelaslah kepada kita bahawa seseorang guru itu perlu memberi didikan yang sempurna untuk melahirkan modal insan yang berkualiti serta kreatif, kritis dan inovatif.  Di samping itu juga menjadi peranan guru terutama guru bahasalah untuk melahirkan  pelajar yang berketrampilan berbahasa dan berkomunikasi serta dapat menggunakan bahasa yang baik sama ada dalam bentuk lisan maupun tulisan bagi memenuhi keperluan diri.   Seorang pendidik itu tidak sepatutnya menyampaikan ilmu sambil lewa atau seperti melepaskan batuk ditangga.  Oleh hal demikian , perlulah seseorang guru  mempertingkatkan ilmu dan menerapkan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kerana sebenarnya bahasa Melayu telah meneroka dan merentasi pelbagai bidang ilmu melalui penerbitan  buku , istilah dan glosari.  Namun begitu, pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk memperkasakan bahasa Melayu tetapi kejayaannya banyak bergantung kepada penutur bahasa itu sendiri dan menjadi tanggungjawab seseorang pendidik yang terlibat secara langsung dalam memperjuang dan memartabatkan bahasa Melayu.





No comments:

Post a Comment