Kata-kata

"Jika ada sebutir pasir, jadikan ia mutiara", "Jika ada segengam tanah, jadikan ia gunung", "Jika ada setitis air, jadikan ia lautan","Jika ada satu huruf, jadikan ia ayat", "Jika ada sepotong ayat, jadikan ia azimat".

Friday 27 May 2016

Teori-Teori Menganalisis Puisi Dan Prosa

1.1  Teori Takmilah
Teori Takmilah diperkenalkan oleh Dr.Shafie Abu Bakar, pensyarah di Jabatan Persuratan Melayu (JPM) Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1993. Teori ini dianggap satu-satunya teori sastera Islam di Malaysia yang memberi penekanan analisis dan kritikan bersandarkan secara langsung kepada konsep tauhid. Kemunculan teori ini telah membuka jalan alternatif kepada para sarjana dan pengkritik untuk melakukan kajian, analisis, ulasan dan kritikan berasaskan prinsip-prinsip keislaman. Kritikan sastera berasaskan teori-teori Barat selama ini masih gagal untuk menghubungkan satu pertalian yang bermakna di antara pengkarya, karya dan khalayak dengan pencipta. Kritikannya lebih bersifat luaran dan konseptual tanpa menjurus kepada paksi penglahiran karya secara ma'nawi.
                                                    
Prinsip teori takmilah yang pertama ialah prinsip keislaman bersifat akmal. Takmilah boleh dianggap satu teori yang bersifat universal yang merangkumikan semua aspek kepengarangan ke dalam acuan Islam. Takmilah menuntut, semua pihak yang berada dalam lingkungan sastera menyedari bahawa, sastera itu sebagaimana juga bidang lain dalam Islam, mempunyai fungsi pelengkap yang akan melengkapkan jati diri keIslaman pada diri seseorang pengarang Islam dan karya yang dihasilkannya. Dengan kata lain, Takmilah menyempurnakan sifat keislaman menerusi sastera. Dalam Islam, sastera bukan sesuatu yang wajib, tetapi hanya merupakan suatu keperluan yang boleh ditunaikan padanya beberapa tuntutan-tuntutan agama. Oleh itu, kegiatan sastera, baik yang melibatkan pengarang, teks dan khalayak semestinya bertali arus dan berkait secara berangkai dengan Allah.

Takmilah membuka ruang kepada para pengarang, teks dan khalayak agar dapat diterima hasilnya sebagai sesuatu yang haq dan bernilai (berpahala) di sisi Allah. Sebagaimana bidang-bidang lain yang berangkaian dengan Islam, maka sastera juga tidak terkecuali. Oleh kerana itu Takmilah bertitik tolak daripada asas yang meyakini bahawa semua manusia (temasuk pengkarya/penulis) itu mempunyai tanggungjawab terhadap Allah dan Rasul-Nya serta tidak akan sempurna sifat kepengkaryaan seseorang pengkarya itu, melainkan berusaha untuk membawa karyanya ke tahap yang boleh diterima Allah sebagai ibadah. Oleh itu, sandaran pengkaryaan mengikut teori Takmilah ialah Tauhid. Yakni menanggapi bahawa pengarang, karya dan khalayak tidak boleh memisahkan diri dari lingkungan syariat Allah S.W.T. dan Rasul-Nya.

Seterusnya, prinsip ketuhanan bersifat kamal iaitu sembahan mutlak dan prinsip kerasulan sebagai insan kamil. Asas teori ini amat relevan dengan kehendak Allah supaya semua manusia memilih Islam sebagai satu cara hidup yang akan diterima oleh-Nya. Barang siapa mencari agama lain selain Islam maka tidak akan diterima agama itu dan sia-sia di sisi Allah. Firman Allah (Bermaksud); `Barang siapa mencari agama selain agama Islam, maka tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya dan di akhirat kelak termasuk ke dalam golongan orang-orang yang rugi'- Surah al-Imran, Ayat 85. Oleh itu, sastera hadir dalam masyarakat semestinya sastera yang menjurus kepada Allah.

Prinsip khalayak bertujuan memupuk mereka kearah insan yang bersifat kamil. Takmilah menuntut seseorang pengarang memiliki ilmu. Menerusi ilmu ini, seseorang pengarang akan dapat menemukan keagungan Allah, Kekuasaan-Nya dan apa jua yang menjadi tanda-tanda kewujudan Allah di dunia ini, kisah-kisah para Rasul, Sahabat, pejuang-pejuang Islam dan sebagainya dalam karya-karya mereka. Tidak akan sempurna sesebuah karya sastera itu jika hasilnya terkeluar dari prinsip-prinsip ilmu Islam, khususnya asas ilmu yang dapat membawa khalayak dan diri pengarang kepada ma'rifat Allah. Sedang pengarang, karya dan khalayak itu bertanggungjawab dan berusaha untuk mencapai tahap kesempurnaan Islamnya dalam sastera dengan mempertautkan semua aspek pengkaryaan kepada Allah S.W.T.

Selain itu, prinsip sastera itu sendiri bersifat estetik. Dari perspektif Islam, al-Khaliq adalah tunjang estetika yang asasi dan menjadi paksi segala penglahiran unsur-unsur estetika di alam ini. Keindahan yang menjadi sifat Allah ini, menjadi paksi yang asasi kepada segala aspek estetika, baik yang terungkap mahupun yang tergambar dalam fikiran manusia, terlukis dan tercatat dalam karya mahupun yang tersembunyi. Unsur-unsur estetika ini sewajarnya menuju kepada kesempurnaan makna dan apreasiasi keindahan yang hakiki itu. Dalam sastera, aspek estetika menjadi tunjang yang memberi wajah keunikannya berbanding dengan bidang-bidang ilmu yang lain. Aspek estetika dilihat bukan sahaja kepada binaan luaran karya sebagaimana yang dilihat oleh golongan strukturalis, tetapi turut menjangkau kepada unsur dalamannya serta linguistik bahasa yang menyelimutinya.

Prinsip ilmu dan sastera yang bersifat takamul. Karya, dari sudut Takmilah semestinya sebuah karya yang berjaya menjalinkan satu rangkaian hubungan iman di antara pengkarya dan khalayak kepada Allah. Khalayak pula semestinya mampu meningkatkan imannya atau menghasilkan kritikan yang mampu menyedarkan khalayak lain tentang keimanan kepada Allah. Ketiga-tiga pihak ini bergerak dalam lingkungan tauhid, sebagai sempadan yang akan memperlihatkan sifat kesempurnaannya. Dengan tidak mengabaikan unsur estetika luaran, Takmilah pergi lebih jauh menjangkau makna keindahan yang lebih kudus dan universal. Bagi Takmilah, keindahan-keindahan yang wujud dan terungkap dalam sesuatu karya tidak semestinya terbatas kepada makna luaran dan berakhir pada tafsiran yang diberikan oleh manusia, tetapi bertalian dengan keindahan hakiki yang menjadi salah satu sifat Allah.

Prinsip pengkarya yang seharusnya mengistikmalkan diri jelas dilihat menerusi usaha Shafie Abu Bakar melahirkan teori Takmilah bukan sahaja bertujuan untuk menyediakan landasan analisis teks yang mampu menyelongkari unsur estetika yang lebih syumul, tetapi juga untuk mengangkat teks-teks yang dihasilkan `berpahala` dan diterima Allah sebagai salah satu amal ibadah. Takmilah muncul sebagai satu pendekatan tauhid untuk memaknakan teks dan mengangkatkan darjatnya di sisi Islam.

1.2  Teori Semiotik
Pendekatan Semiotik merupakan salah satu kritikan yang penting dan popular dalam bidang bahasa dan kesusasteraan. Pendekatan ini kritik ini menggunakan prinsip-prinsip teori Semiotik sebagaiamana yang yang dikemukakan oleh beberapa orang tokoh seperti Fredinand de Saussure, Sander Pierce, Micheal Riffaterre, Umbarto Eco, Jurij Lotman dan lain-lain. Pendekatan ini menitikberatkan soal kebahasaan dengan penumpuan kepada mencari dan memahami makna menerusi sistem lambang (sign) dan perlambangan dalam teks. Asas kepada kritikan ini ialah kepercayaan bahawa makna bahasa ditandai dengan sistem lambang dan perlambangan.

Lambang dan perlambangan ini pula mempunyai hubungan dengan psikologi manusia dalam sesebuah masyarakat. Makna dalam teks dapat difahami dengan mentafsir lambang dan perlambangan yang hadir dalam teks dan dihubungkan pula dengan penerimaan umum dalam sesebuah masyarakat. Beberapa cadangan supaya kajian secara mendalam tentang bahasa yang lebih sistematik perlu diwujudkan telah disuarakan oleh ramai pemikir falsafah seperti Ferdinand de Saussure dan Charles Sander Peirce. Istilah Semiotik telah digunakan oleh Charles Sander Peirce untuk merujuk kepada satu cabang autonomous sains. Peirce boleh dianggap sebagai seorang pemula Semiotik. Beliau membezakan tiga jenis lambang iaitu ikonik, indekisal dan simbolik (Terry Eagleton,1993:111).

Di antara Peirce dan Saussure ada perbezaan yang jelas dalam penekanan terhadap lambang ini. Saussure merujuk lambang secara wewenang kepada penandanya. Pengasas utama pendekatan Semiotik dalam kajian kesusasteraan ialah Jurij M. Lotman yang menulis kertas kerja dalam buku mengenai teori dan metodologi Semiotik (Mana Sikana,1990:18). Pendekatan ini tumbuh dan berkembang di Barat pada sekitar tahun-tahun awal kurun ke 20. Tokoh-tokoh penting di belakang Semiotik ialah Saussure, Peirce, Lotman, Jonathan Culler, Micheal Riffaterre dan lain-lain lagi.

Walau bagaimanapun setiap tokoh ini mempunyai pandangan yan berbeza terhadap konsep lambang dan perlambangan, meskipun asas teorinya sama iaitu memahami makna berasaskan sistem lambang dan perlambangan. Oleh kerana itu, pengkritik yang ingin menggunakan pendekatan ini harus terlebih dahulu memahami idea Semiotik tokoh-tokoh ini.

1.3  Teori Pengkaedahan Melayu
Teori Pengkaedahan Melayu telah dicetuskan oleh Hashim Awang (1994b) seorang sarjana dan pengkritik yang terkenal di tanah air. Teori ini mula diperkenalkan pada tahun 1989 dan dikemukakan berlandaskan bahawa semua aspek kehidupan manusia yang merangkumi cara dan sikap hidup, kepercayaan dan kebudayaan setempat dalam masyarakat Melayu yang melahirkan karyanya sendiri
Teori Pengkaedahan Melayu
Perkaedahan Alamiah
 Pendekatan Gunaan
 Pendekatan moral
 Pendekatan Firasat
Pengkaedahan keagamaan
Pendekatan Dakwah
Pendekatan Kemasyarakatan
Pendekatan Seni
Rajah 1.1 Pembahagian Teori Pengkaedahan Melayu

Kaedah Pendekatan Dakwah yang melihat hubungan sastera dengan masyarakat dan alam sekitarnya telah digunakan dalam kajian (Hashim Awang, 1991). Hubungan ini dapat memperkukuhkan unsur realiti dalam karya dengan kehidupan manusia yang berkait rapat dengan alam. Elizabeth dan Tom Burns (1973) menjelaskan terdapat hubungan sastera dengan masyarakat di luarnya untuk memahami tingkah laku dan kehidupannya melalui pancaindera dan kematangan berfikir.

Dalam hal ini, Rahmat (1990) menjelaskan agama adalah keyakinan manusia kepada alam ghaib dan menuntut para pengikutnya mematuhi peraturan yang dilahirkan. Secara khusus Haron Din (1990) menegaskan agama ialah kepercayaan yang qudus, menyatakan diri pada hubungan dalam bentuk upacara, penyembahan dan permohanan, dan membentuk sikap hidup berdasarkan ajaran tertentu. Sehubungan itu, kelahiran agama Islam sebagai ‘ad-din’ bukanlah dari hasil usaha manusia tetapi semata-mata daripada kehendak Allah (Mohd. Sulaiman Hj. Yasin, 1982).

Kebebasan beragama. Sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, Malaysia mengamalkan dasar kebebasan beragama di kalangan rakyatnya. Secara khusus hak kebebasan beragama dalam Perlembagaan Persekutuan terdapat dalam Bahagian dua Perkara 11. Hak kebebasan beragama yang terungkap dalam novel Menjaras Ribut mencerminkan kehidupan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa, keturunan dan bebas mengamalkan kepercayaan agama yang berbeza.

Penerapan nilai-nilai Islam yang dibicarakan ini sejajar dengan keperluan negara yang bertujuan membentuk personaliti, sahsiah dan memupuk generasi muda seperti pelajar universiti dengan nilai budaya murni yang menjadi amalan dalam kehidupan sejagat. Usaha menyemai nilai murni dalam masyarakat dapat dilaksanakan dengan menerap nilai-nilai Islam dalam kehidupan.

Menurut Hasan Langgulung (1981) terdapat empat fungsi penerapan nilai Islam. Pertama, menyiapkan generasi muda untuk memegang peranan tertentu dalam masyarakat pada masa depan. Kedua, memindahkan ilmu pengetahuan yang berkaitan daripada generasi tua kepada generasi muda. Ketiga, memindahkan nilai-nilai murni untuk memelihara keutuhan dan kesatuan masyarakat bagi menjamin kelangsungan hidup (survival) dan membina tamadun bangsa. Keempat, mendidik dan beramal untuk kepentingan dunia dan akhirat.

Dakwah Islamiah. Dakwah merupakan kegiatan menyeru, membimbing dan meyakinkan untuk mempengaruhi orang lain supaya mengamalkan ajaran agama yang sebenar. Islam menegaskan dakwah adalah suatu kegiatan atau aktiviti yang dijalankan untuk menyeru umat manusia mengakui kebesaran dan keesaan Allah. Suruhan ini sesuai dengan firman Allah dalam surah at-Taubah ayat:22 yang bermaksud “hendaklah ada di antara kamu orang yang mendalami ilmu agama, mudah-mudahan mereka dapat menjauhkan diri daripada larangan Allah.” Dakwah Islamiah dibahagikan kepada dua iaitu dakwah dalam Islam dan dakwah di luar Islam.

1.3.1      Dakwah dalam Islam, menuntut agar Jumali Hj. Selamat Jurnal Personalia Pelajar Bil. 12 Jun/June 2009 31 setiap Muslim saling ingat-mengingati dan nasihat-menasihati antara satu sama lain untuk memperbaiki kehidupan di dunia dan akhirat.

1.3.2      Dakwah di luar Islam bermaksud memperbanyak bilangan umat Islam dan penganutnya yang dilaksanakan melalui pelbagai kegiatan untuk mempengaruhi dan menjadi daya tarikan kepda masyarakat yang memberi manfaat kepada umat manusia seluruhnya.

Islam meliputi keseluruhan kehidupan manusia yang merangkumi bidang ibadat yang berkait dengan soal fardhu ain dan fardhu kifayah, muamalat merangkumi bidang ekonomi, jual beli dan sosial, munakahat menyentuh persoalan kekeluargaan dan perkahwinan dalam Islam, jinayat berhubung dengan perkara undang-undang dan peraturan, dan jihad yang menyatakan soal pendakwahan serta semua perkara yang berkaitan dengan bidang kemanusiaan dan kemasyarakatan.

No comments:

Post a Comment