Kata-kata

"Jika ada sebutir pasir, jadikan ia mutiara", "Jika ada segengam tanah, jadikan ia gunung", "Jika ada setitis air, jadikan ia lautan","Jika ada satu huruf, jadikan ia ayat", "Jika ada sepotong ayat, jadikan ia azimat".

Monday, 21 March 2016

PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA

1.0  PPPM

Sistem pendidikan Malaysia berhasrat memastikan setiap murid mencapai potensi sepenuhnya. Setiap pemimpin sekolah, guru, ibu bapa, dan masyarakat mempunyai peranan penting dalam memastikan generasi muda ini mencapai aspirasi yang diharapkan. Pelan ini akan terus menterjemahkan semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang merencanakan pendidikan seimbang sebagai asas mencapai aspirasi murid. Perkara ini selari dengan maklum balas daripada Dialog Nasional. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia juga mengambil pengajaran daripada sistem pendidikan berprestasi tinggi untuk membangunkan ciri-ciri atribut dan kecekapan tertentu yang diperlukan oleh murid untuk berjaya dan berkembang maju dalam dunia global yang semakin mencabar.

Sehubungan itu, semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan tentang pendidikan seimbang diperlihatkan dalam enam ciri. Ciri ini bukan sahaja menekankan kepentingan pengetahuan, tetapi juga pembangunan kemahiran pemikiran kritis, kreatif, dan inovatif; kemahiran memimpin; kemahiran dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris; sahsiah dan nilai, serta semangat identiti nasional yang kuat. Ciri ini turut memberi penekanan kepada usaha bagi membolehkan semua murid memberikan sumbangan yang bermakna kepada keluarga, masyarakat, dan negara.

1.1  Kemahiran Berfikir

Setiap murid perlu membina kemahiran inkuiri dan belajar cara untuk terus mendapatkan pengetahuan sepanjang hayat supaya boleh menghubung kait pelbagai pengetahuan, dan mewujudkan pengetahuan baharu. Kemahiran berfikir aras tinggi dan kemampuan untuk melakukan inovasi amat kritikal dalam dunia teknologi yang berkembang pesat. Setiap murid perlu menguasai pelbagai kemahiran kognitif yang penting seperti pemikiran kreatif dan inovatif kerana kemampuan menginovasi, menjana kemungkinan baharu, dan mencipta idea atau pengetahuan baharu.

Seterusnya, pemikiran kritis dan penaakulan berdasarkan keupayaan menganalisis maklumat, menjangka masalah dan mendekati isu secara kritis, logik, induktif, dan deduktif bagi mencari penyelesaian, dan akhirnya membuat keputusan dan keupayaan belajar yang merupakan keupayaan memacu pembelajaran sendiri, dengan kemampuan menghargai nilai pembelajaran sepanjang hayat.

      Hasil daripada temubual tersebut, saya mendapati bahawa rakan sebaya saya mempunyai salah satu ciri utama murid berkualiti yang terdapat dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) iaitu kemahiran berfikir. Berdasarkan keperluan pendidikan pada hari ini yang memerlukan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) membolehkan rakan sebaya saya berfikir secara kreatif dan kritis bagi memenuhi keperluan sebagai seorang guru untuk menghadapi cabaran dalam sistem pendidikan di Malaysia yang semakin mencabar.







2.0  Rumusan

Kesimpulannya, setiap manusia akan mengalami perubahan terhadap perkembangan dan pertumbuhan dari segi fizikal, sosial, emosi rohani dan intelek. Guru – guru harus memahami perkembangan kanak – kanak dalam mewujudkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Perkembangan individu berlaku pada kadar yang berbeza – beza mengikut kematangan dan pengalaman yang dilaluinya. Faktor baka dan persekitaran saling mempengaruhi perkembangan kanak-kanak tersebut.

Jelaslah matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan tertumpu kepada pembangunan murid secara holistik yang menekankan pembangunan intelek, rohani, emosi, dan fizikal, seiring dengan pembinaan identiti nasional yang kukuh. Justeru pertumbuhan dan perkembangan kanak – kanak adalah penting untuk pembangunan modal insan.

Hasil daripada temubual itu juga dapat mengetahui faktor yang mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan rakan sebaya bagi memastilah Falsafah Pendidikan Kebangsaan berkesan atau tidak. Seterusnya, melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia juga mampu membuatkan seorang guru pelatih berupaya bersaing secara menyeluruh pada peringkat global.


PERKEMBANGAN AWAL KANAK-KANAK

1.0  Pengenalan

Falsafah Pendidkan Negara (FPN) merupakan sistem pendidikan yang menganjakkan diri ke kedudukan terkehadapan dengan mengungkapkan secara jelas prinsip dan nilai asas yang mendasari dan membentuk sistem pendidikan Malaysia daripada peringkat paling rendah kepada paling tinggi iaitu institusi pendidikan tinggi  seperti universiti. Falsafah Pendidikan Negara  juga turut menjelaskan tujuan dan matlamat pendidikan untuk individu dan negara.

Tujuan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk individu adalah untuk melahirkan insan yang berilmu, berakhlak mulia dan bertanggungjawab yang juga menjadi seorang warganegara yang baik. Pendidikan merupakan proses asas dan utama untuk pembinaan insan yang baik, seimbang dan bersepadu, ini untuk menjayakan hasrat dan cita-cita negara. Secara keseluruhannya, tujuan pendidikan tinggi bukan hanya setakat memperoleh segulung ijazah atau diploma tetapi adalah untuk pembangunan diri manusia secara menyeluruh dan seimbang supaya menjadi seorang insan, ahli keluarga dan masyarakat dan warganegara yang berilmu, bertanggungjawab, berakhlak mulia dan berbakti.

Manusia sentiasa mengalami proses pertumbuhan dan perkembangan. Proses pertumbuhan dan perkembangan ini berlaku dari semasa ke semasa bermula sejak dari dalam kandungan lagi hinggalah ke akhir hayat. Namun begitu proses pertumbuhan dan perkembangan mempunyai beberapa perbezaan yang ketara. Secara umumnya pertumbuhan bersifat kuantitatif, boleh diukur kerana ia melibatkan pertumbuhan secara fizikal. Manakala, perkembangan pula bersifat kualitatif, tidak boleh diukur, tetapi boleh dinilai, ia lebih kepada perkembangan kognitif dan mental. Kamus Dewan (1992) mendefinisikan pertumbuhan sebagai proses tumbuh, iaitu hidup, menjadi bertambah besar atau sempurna. Perkembangan pula didefinisikan sebagai proses berkembang iaitu menjadi semakin sempurna.

Terdapat beberapa definisi yang diberikan oleh ahli psikologi berhubung dengan pertumbuhan. Secara umumnya, mereka memberikan definisi yang hampir sama iaitu pertumbuhan itu bersifat kuantitatif, perubahan fizikal menunjukkan kematangan seseorang dan boleh diukur. Pertumbuhan ini akan terhenti apabila seseorang itu mencapai kematangan apabila aqil baligh.

Mengikut kajian ahli psikologi, perkembangan kanak-kanak dipecahkan kepada lima aspek iaitu aspek jasmani, kognitif, emosi, sosial dan rohani. Kelima-lima aspek ini pula adalah berasaskan kepada dua faktor yang utama iaitu dipengaruhi oleh faktor baka dan faktor persekitaran. Ahli psikologi juga telah berpendapat bahawa tiada individu di dunia ini yang mempunya kadar perkembangan yang sama dan menjadikan faktor baka dan faktor persekitaran sebagai penyebab utama ketidaksamaan kadar perkembangan seseorang individu.

Dalam konteks pertumbuhan dan perkembangan manusia, pertumbuhan merupakan satu proses kesempurnaan manusia itu membesar dari kandungan hinggalah mencapai kematangan atau aqil baliqh, pada ketika ini sempurnalah pertumbuhannya dan ia akan terhenti. Perkembangan pula satu proses kesempurnaan sifat kemanusiaan yang terkandung perasaan, kecerdasan, kebijaksanaan, kemampuan berfikir, kebolehan mengatur tingkah laku dan sebagainya, ianya akan terus berlaku dari semasa ke semasa hinggalah akhir hayat.

2.0  Definisi

2.1  Pertumbuhan

Terdapat beberapa definisi yang diberikan oleh ahli psikologi berhubung dengan pertumbuhan. Secara umumnya, mereka memberikan definisi yang hampir sama iaitu pertumbuhan itu bersifat kuantitatif, perubahan fizikal menunjukkan kematangan seseorang dan boleh diukur. Pertumbuhan ini akan terhenti apabila seseorang itu mencapai kematangan apabila aqil baligh.

Karl E. Garisson dalam Ee Ah Meng (1993) mendefinisikan pertumbuhan sebagai proses perkembangan individu dalam bentuk saiz badan, iaitu perubahan-perubahan otot, tulang, kulit, rambut dan kelenjar. Manakala Atan Long pula memberi takrif perubahan yang dapat diukur dari satu peringkat ke satu peringkat yang lain dari semasa ke semasa. Proses perubahan tersebut dapat diukur secara kuantiti ke atas seseuatu organisma. Bagi D.S Wright dan Ann Taylor dalam Ee Ah Meng (1993) pula, mereka menyifatkan pertumbuhanitu sebagai pertambahan-pertambahan dalam pelbagai sifat luaran seseorang seperti ketinggian, berat badan dan saiz.


2.2  Perkembangan

Crow and Crow dalam Ee Ah Meng (1993) mentakrifkan perkembangan sebagai perubahan bersifat kualitatif serta cenderung ke arah yang lebih baik dari segi pemikiran, rohani, moral dan sosial. Sebagai cohtoh, seseorang kanak-kanak boleh membina ayat setelah belajar membatangkan perkataan. Kebolehan membina ayat adalah satu proses perkembangan.

D.S Wright dan Ann Taylor dalam Ee Ah Meng (1993) pula mendefinisikan perkembangan sebagai perubahan yang berlaku dalam warisan hayat dan organisasi kepada struktur organisma dalam keadaan yang saling berkait serta berhubung dengan pertambahan umur. Manakala Atan Long pula menyatakan perkembangan itu satu perubahan kualitatif yang tidak dapat diukur kuantitinya tetapi jelas dilihat perubahan telah berlaku kerana bersifat baharu dan berlainan daripada peringkat yang lebih awal.

2.3  Baka

Baka ialah pewarisan keturunan. Ianya juga dianggap sebagai perhubungan genetik di antara generasi manusia.Pengaruh genetik atau baka ke atas pertumbuhan dan perkembangan manusia ini sebenarnya dipelopori oleh Johann  Gregor Mendel(1822-1889). Menurut Ee Ah Meng (2005) baka merupakan ciri-ciri yang diturunkan melalui ibu bapa kepada anak-anaknya melalui gen.  Amran Schienfed mengatakan bahawa baka menentukan persamaan antara ibu bapa dengan anak-anaknya, di kalangan ahli dalam satu kumpulan keluarga .

Faktor baka  (nature) lebih dikenali sebagai gen yang terdiri daripada nukleoprotein yang menentukan baka atau ciri keturunan. Kedudukan nukleoprotein terletak di atas lokus kromosom, yang berupa benang halus yang terdapat dalam nukleus sel sperma (jantan) juga sel ovum (betina). Mengikut kajian, kromosom mengadungi bahan DNA dan RNA dan masing-masing membawa gen-gen yang mengandungi sifat-sifat baka. Gen akan memberi sifat unik kepada setiap manusia. Tidak dinafikan bahawa pertumbuhan dan perkembangan individu dipengaruhi oleh faktor genetik individu tersebut. Sebagai contoh ialah saiz badan, ketinggian dan rambut.


2.4  Persekitaran

     Menurut Kamaruddin Hj Husin (1998), Normal L Munn telah mengatakan persekitaran ialah segala benda yang ada di sekeliling unit-unit kebakaan. Sementara itu W. Edgar Vinacke mengatakan persekitaran adalah segala kuasa yang kompleks yang boleh mempengaruhi tingkah laku individu. Menurut Amram Schienfield, persekitaran merujuk kepada luaran individu dan faktor bakanya yang bermula daripada peringkat persenyawaan.Faktor ini merujuk kepada keadaan semasa proses perkembangan kanak-kanak. Secara umumnya, faktor persekitaran ini terbahagi kepada dua kategori iaitu kategori pralahir dan kategori selepas lahir.

3.0  Laporan

Tugasan yang diberikan memerlukan saya untuk menemubual rakan sebaya bagi mendapatkan maklumat mengenai dirinya. Temubual telah dilakukan terhadap rakan sebaya untuk mengetahui faktor yang paling dominan di antara baka dan persekitaran yang mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan rakan sebaya tersebut. Temubual telah dilakukan dari .aspek fizikal, kognitif dan personaliti.

3.1  Fizikal

Perkembangan fizikal individu ditentukan oleh dua faktor iaitu baka dan persekitaran. Proses perkembangan ini berlaku secara tersusun dan bersistematik tanpa kita sedari. Selain melihat perubahan yang berlaku pada berat badan dan kadar ketinggian kanak-kanak, satu lagi aspek perkembangan fizikal turut dikaji ialah pergerakkan motor. Perkembangan fizikal kanak kanak yang berlaku boleh diukur dan diperhatikan berdasarkan dua cara iaitu kuantitatif dan kualitatif. Pertumbuhan saiz badan, gigi, tinggi, struktur badan dan sebagainya yang boleh diukur secara kuantitatif.

Selain itu, perkembangan beliau dari peringkat fizikal bermula dengan proses persenyawaan sehingga ke peringkat awal remaja. Seperti yang telah diterangkan oleh teori bermula dengan peringkat perinatal yang bermaksud sesuatu yang berlaku kepada ibu dalam tempoh seseorang mula hamil sehingga kelahiran bayi. Peringkat ini bermula dengan proses persenyawaan dan seterusnya berkembangan menjadi zigot yang akan melalui proses pembahagian sel dan akhirnya membentuk seorang manusia sempurna. Sepanjang berada dalam rahim, seorang bayi itu melalui tiga fasa penting iaitu peringkat pembenihan, embrio dan peringkat janin. Semasa melalui peringkat ini, bayi berkembang daripada zigot, embrio dan janin yang lengkap tubuh badan sehingga proses kelahiran yang disebut peringkat bayi.

Berdasarkan prinsip pertumbuhan dan perkembangan, ada tiga prinsip perkembangan fizikal yang boleh diperincikan iaitu arah tertentu yang boleh diramal, perkembangan yang sama dan serupa dan bermula daripada umum kepada yang khusus. Berdasarkan temubual yang telah dijalankan, beliau mengatakan bahawa perkembangan yang mempunyai arah tertentu adalah sama seperti yang diramal seperti perkembangan yang bermula dari kepala dan beransur – ansur ke bahagian kaki. Sebagai contoh, semasa berusia dua hingga enam bulan beliau telah dapat mengawal pergerakan kepala, meniarap, menjulur dan mengangkat badan menggunakan lengan semasa meniarap. Beliau juga turut berkongsi maklumat iaitu pada usia beliau 6 hingga 12 bulan, beliau sudah boleh untuk merangkak, berdiri, bertatih, berjalan serta memiliki kemahiran seperti berjalan dengan laju. Saiz kepalanya juga meningkat apabila meningkat dewasa dan beliau memiliki kepala yang agak besar kerana faktor baka menjadi penyebab kepada perkembangan saiz tersebut. Selain itu, perkembangan fizikal beliau juga berkembangan secara beransur – ansur sebagai contoh pada peringkat prenatal, bahagian – bahagian yang letaknya pada bahagian badan berkembang terlebih dahulu berbanding anggota luar yang lain seperti tangan dan kaki. Ketika bayi, beliau juga sukar untuk mencapai objek yang dilihat kerana mengikut teori perkembangan fizikal, pada ketika itu kawalan otot masih belum mantap dan sempurna menyebabkan objek yang hendak dipegang seringkali terjatuh atau terlepas dari genggamannya.

Selain daripada berat dan tinggi, perkembangan fizikal dari segi perkembangan motor, pertuturan, pengihatan, pendengaran dan keupayaan tambahan yang lain turut dijelaskan oleh beliau semasa temubual berlaku. Antaranya ialah semasa berumur sebulan hingga tiga bulan, beliau menggunakan kemahiran motor seperti menghisap jari, meniarap dan mengangkat dada, mencapai objek di depan mata serta mampu untuk mengangkat kepala apabila ditiarapkan. Dari segi penglihatan dan pendengaran juga, beliau mampu untuk mencapai tangan sendiri dan pergerakan mata serta koordinasi tangan dan mata. Beliau juga mampu untuk bergerak kearah bunyi serta memusingkan kepala kearah bunyi tersebut. Keupayaan tambahan yang dapat dilihat ialah mampu memberikan senyuman kepada orang lain dan mudah untuk terangsang dengan rangsangan visual.

Seterusnya pada usia lima hingga 10 bulan, telah banyak peningkatan terhadap kemahiran motor. Sebagai contoh, otot tangan semakin kuat dan berupaya untuk memasukkan objek ke dalam mulut, boleh memindahkan sesuatu objek ke tangan yang lain dan mampu duduk tegak dengan sokongan orang lain. Kemahiran motor ini semakin meningkat apabila menjangkau usia 10 bulan dimana beliau sudah boleh merangkak dan duduk tanpa sokongan dari sesiapa. Dari segi penglihatan dan pendengaran pula, beliau pada usia ini sudah mampu berpaling ke arah bunyi sejauh 45 cm darinya dan mampu untuk mendengar bunyi – bunyi lain seperti bunyi mainan jatuh. Keupayaan tambahan yang lain ialah beliau sudah mampu untuk mengenal orang sekeliling dan sudah mula takut pada orang yang tidak dikenali.
Selain itu, pada usia setahun hingga dua tahun, pembentukan otot dan kemahiran motor bayi semakin meningkat. Hal ini kerana, hasil daripada temubual yang dijalankan, beliau mengatakan bahawa pada usia ini beliau sudah mampu untuk berjalan tetapi pada mulanya berpaut pada sesuatu untuk menyokong beliau untuk berdiri. Peringkat – peringkat kemahiran otot kaki dan tangan semakin meningkat apabila beliau sudah mampu untuk berlari pada usia dua tahun dan menaiki tangga tanpa bantu dan sokongan. Keupayaan untuk makan dan minum sendiri dengan menggunakan kedua – dua belah tangan juga dapat dilihat pada usia setahun tiga bulan. Koordinasi mata dan tangan serta pembentukan otot yang kuat sangat aktif pada masa ini bagi membolehkan beliau untuk berlari apabila menjangkau usia dua tahun.
Pada peringkat kanak – kanak iaitu pada usia 7 hingga 12 tahun, gigi susunya juga sudah mula tanggal lalu digantikan dengan gigi kekal. Proses penukaran kepada gigi kekal ini berlanjutan sehingga beliau berusia 12 tahun. Berat badan beliau pada ketika ini ialah 30 kg manakala tingginya ialah 129 cm. Beliau mencapai akil baligh ketika berusia 12 tahun dan pada ketika ini, perubahan perkembangan secara fizikal berlaku dengan pesat. Pertambahan yang mendadak berlaku juga kepada berat badan dan ketinggian apabila mencapai usia remaja. Apabila sudah mencapai akil baligh, perubahan fizikal jelas kelihatan seperti surau semakin garau, pertumbuhan bulu pada ketiak dan alat kelamin, bermisai, berjanggut, bulu kaki dan juga kulit menjadi semakin kasar. Mengikut teori, pertumbuhan remaja lelaki semasa akil baligh lebih lama iaitu sehingga mereka berusia 21 tahun.
Fizikal beliau lebih dipengaruhi oleh faktor baka berbanding persekitaran. Jika dilihat saiz badannya tersebut melalui gambar keluarga, beliau lebih mengikuti ibunya iaitu berbadan kecil. Seterusnyam temubual tersebut turut mendapatkan maklumat mengenai berat badannya dan dia turut memaklumkan berat badannya hampir menyamai berat badan ibunya. Selain itu, ketinggian jika dilihat secara kasar dan berdasarkan saiz badan yang kecil dia memiliki ketinggian yang sama dengan ibunya dan adik beradik yang lain. Manakala, pertumbuhan gigi jika dilihat rekod pergigian keluarga tidak terdapat banyak perbezaan. Perkembangan fizikal tersebut diperhatikan melalui kuantitatif dan hasilnya dipengaruhi oleh baka. Disamping itu, perkembangan fizikal kualitatif iaitu peningkatan kemahiran fizikal seperti kebolehan sesuatu, berlari, koordinasi mata dan tangan dipengaruhi oleh persekitaran. Rakan sebaya menyatakan bahawa bakat dalam acara olahraga, sukan dan permainan diperolehi ketika di sekolah rendah.

3.2  Kognitif

Perkembangan kognitif merujuk kepada proses perkembangan keupayaan berfikir dan menaakul yang berlaku seiringan dengan perkembangan sosioemosi, fizikal, dan penguasaan kemahiran berbahasa. Menurut Berk (2006). Proses kognitif merupakan proses dalaman dan hasilan minda yang membawa kepada pengetahuan. Proses ini merangkumi “segala aktiviti mental iaitu mengingat, membuat perwakilan simbol, mengkategorikan, menyelesaikan masalah, mereka cipta, mengkhayalkan dan daya imaginasi”. Manakala perkembangan bahasa merujuk kepada kebolehan seseorang memahami perkataan dan struktur perkataan. Pada hakikatnya, penguasaan bahasa merupakan salah satu alat berfikir yang penting.

Berdasarkan temubual tersebut, beliau menyatakan bahawa pada peringkat kanak – kanak diusia 3 -4 bulan beliau sekadar bersuara balasan iaitu membalas apa yang dipercakapkan. Diusia seterusnya ialah 5 bulan beliau menyatakan bahawa beliau mulai meniru ekspresi wajah orang lain. Manakala, pada usia 9 – 12 bulan beliau sudah boleh menyatakan kehentak melalui bahasa yang kreatif tapi tidak difahami oleh orang lain. Beliau turut menyatakan kebolehan membaca pada usia 4-5 tahun iaitu kebolehan membaca buku sebanyak 2 buah buku sehari.

Oleh itu, bersesuaian dengan teori yang diberikan bahawa bahasa merupakan salah satu alat berfikir yang penting mengikut peringkat umur. Berdasarkan temubual tersebut, kebolehan bercakap berubah ubah dan sentiasa meningkat kebolehan tersebut dari hanya membalas, meniru, menyatakan dalam bahasa kreatif, menguasai lebih 1000 patah perkataan dan akhirnya boleh membaca dan berfikir secara sendiri.

3.3  Personaliti

Secara umum personaliti bermaksud sahsiah, keperibadian, atau perwatakan seseorang. Ia berasal daripada Bahasa Latin iaitu ‘persona’ yang bermaksud topeng muka yang digunakan oleh pelakon Yunani pada masa dulu untuk mewakili sesuatu perwatakan orang di pentas. Personaliti ialah ciri-ciri keseluruhan tingkah laku pada seseorang individu, tetapi berlainan dengan orang lain. Ia mewakili perwatakan seseorang individu dan dapat diperhatikan dan dinilai melalui tingkah laku. Di samping itu, ramai yang menyatakan personaliti adalah gerakbalas tingkah laku terhadap situasi tertentu. Oleh sebab itu, di kalangan ahli psikologi mempunyai pelbagai pendapat tentang pengertian personaliti.

Menurut pendapat Alder,personaliti merupakan gaya hidup seseorang individu. Manakala Gordon Allport menyatakan personaliti sebagai organisasi sistem psikologi yang dinamik dalam jiwa individu. Ia akan menentukan ciri-ciri tingkah laku dan penyesuaiannya dengan alam persekitaran. Pandangan Crow and Crow pula menyatakan personaliti seseorang adalah perwatakan fizikal, corak pertuturan dan daya penarik yang dimilikinya. Menurut Gage dan Berliner pula, personaliti merangkumi segala aspek tingkah laku manusia, keupayaan, sikap, pendapat, kepercayaan, kognitif dan emosi seseorang.

Menurut Carl Jung (1875-1961), manusia boleh diklasifikasikan kepada tiga kumpulan berdasarkan personaliti peribadi iaitu introvert, ekstrovert dan ambivert. Rakan sebaya yang ditemubual mempunyai personaliti peribadi ambivert iaitu individu daripada kumpulan ini mempunyai trait daripada kedua-dua jenis personaliti introvert dan juga ekstrovert. Mereka merupakan gabungan kedua-dua personaliti ini dan berkemungkinan bersifat seperti aktif, sensitif, optimistik suka berkawan tetapi memilih bekerja berseorangan, bertutur lancar tetapi berfikir sebelum bercakap atau memberi pendapat dan suka kepada kehidupan yang teratur. Apa yang membezakan ialah kadang-kadang individu dipengaruhi secara dominan daripada salah satu sifat di atas. 

Secara keseluruhannya, dalam perkembangan kendiri terdapat dua aspek iaitu aspek personaliti dan konsep kendiri. Kedua-dua aspek ini saling berkait rapat antara satu sama lain. Aspek personaliti merupakan gabungan daripada berbagai sifat dan konsep kendiri seseorang. Individu yang mempunyai konsep kendiri positif akan menghasilkan personaliti yang bersesuaian dengan keperluan persekitaranya. Personaliti seseorang dapat dikenali dengan cara tingkah laku, gaya percakapan dan sebagainya.


   Seterusnya, aspek konsep kendiri pula meliputi keseluruhan perkembangan personaliti seseorang individu. Aspek-aspek ini adalah penting bagi menimbulkan kesedaran guru pelatih terhadap kepentingan mempunyai konsep kendiri yang positif adalah sangat penting supaya dapat  bersedia menghadapi cabaran sebenar dalam dunia pendidikan.

KEBUDAYAAN KEBANGSAAN

1.0  KEBUDAYAAN KEBANGSAAN

Kebudayaan Melayu yang dipersetujui sebagai teras kebudayaan kebangsaan dapat dikatakan sebagai suatu bentuk kebudayaan yang agak liberal. Perubahan dalam kebudayaan ini dibuat untuk membuka ruang kepada unsur-unsur kebudayaan sukuan dan kaum yang lain. Dalam konteks hari ini, kebudayaan berperanan penting dalam proses pembangunan negara di Malaysia. Kebudayaan Melayu yang menunjangi kebudayaan kebangsaan turut mencerminkan keperibadian Malaysia yang harus dipupuk dalam usaha-usaha yang dijalankan ke arah meningkatkan pembangunan sosioekonomi dan politik.

Bagi sesebuah negara yang mempunyai masyarakat yang berbilang kaum seperti di Malaysia, proses pembentukan kebudayaan nasional memerlukan perancangan yang teliti dan rapi supaya dapat melahirkan cara hidup yang bersifat kemalaysiaan. Perancangan kebudayaan ini juga harus menentukan sifat-sifat yang baik, mulia dan utama bagi pembinaan bangsa dan ketahanan negara. Oleh hal yang demikian, menjurus kepada usaha memperkukuh kebudayaan kebangsaan, beberapa perkara perlu diberikan perhatian untuk menjamin kelangsungan usaha ini.






2.0  PERBANDINGAN

CIRI-CIRI
MELAYU

CINA
INDIA





PERKAHWINAN

-Merisik
-Bertunang
-Akad nikah
-Berandam dan berasah gigi
-Istiadat berinai
-Bersanding
-Menyambut tetamu

-Pinangan
-Bandingan hari jadi
-Harga pengantin Perempuan
-Penyampaian Hadiah Pengantin
-Pemilihan hari
-Jamuan




-Merisik
-Berkunjung ke rumah pengantin perempuan
-Prosedur Ikat janji
-Pemberian hadiah
-Menebang sebatang pokok
-Menanam sebatang pokok


TARIAN

-Tarian Mak Yong
-Tarian Zapin
-Tarian Gamelan

-Tarian Naga
-Tarian Singa
-Tarian Kipas


-Tarian Kathak
-Tarian Bharata Natyam



PERMAINAN

-Sepak raga
-Batu seremban
-Congkak
-Teng-teng


-Mahjong
-Go
-Xiang Xi
-Yo-yo Cina


-Kho-kho
-Chaturanga
-Kabadi


PERAYAAN

-Hari Raya Aidilfitri
-Hari Raya Aidiladha



-Tahun Baru Cina
-Chap Goh Mei
-Hari Kuih Bulan

-Deepavali



3.0  PENUTUP

Kesimpulannya, masyarakat Melayu yang begitu kaya bukan sahaja dari aspek budaya, malah turut kaya dengan warisan sasteranya yang mempunyai kata yang indah dan halus. Karya-karya serta budaya yang dicipta oleh nenek moyang kita pada zaman dahulu sebagai hiburan mestilah dipelihara dan dipulihara. Kesedaran masyarakat sendiri yang memainkan peranan dan menentukan kelangsungan budaya masyarakat Melayu. Warisan ini semakin hari semakin luput dan tenggelam dalam arus globalisasi yang melanda dunia pada hari ini. Selain itu juga, sebagai golongan muda, kita seharusnya 

KESUSASTERAAN MELAYU

1.0  KESUSASTERAAN MELAYU

Kesusasteraan  Melayu merujuk kepada hasil karya dan ciptaan seni yang terdapat dalam kalangan masyarakat Melayu. Dalam masyarakat Melayu tradisional, sastera bersatu dan berintegrasi dalam kehidupan seharian mereka. Sebagai contoh, seorang ibu yang menidurkan bayinya secara sengaja atau tidak, akan menyanyikan balada-balada yang berirama dan merdu. Seorang dukun yang membacakan mantera untuk menyembuhkan orang sakit secara sedar atau tidak, akan melagukan puisi yang indah dan berirama. Dalam upacara perkahwinan pula, ketika wakil keluarga pengantin perempuan berbicara dengan wakil keluarga pengantin lelaki, hadirin sebenarnya menyaksikan satu adengan dramatik dengan bahasa yang menarik dan indah. Pada hari ini, hubungan sastera dengan kehidupan merupakan satu perkara yang menjadikan perbincangan pula. Sebaliknya, dalam masyarakat tradisional, sastera memainkan peranan yang besar dan tidak terpisah secara lahiriah daripada kepercayaan, kegiatan mencari nafkah, pekerjaan, permainan dan sebagainya. Melalui penghayatan yang lebih baik terhadap kehidupannya, manusia diharapkan dapat menghasilkan yang lebih sejahtera.


1.1  Konsep Kesusasteraan

Sastera merupakan satu bidang seni kreatif di mana bahasa adalah medium pengantarnya. Sastera boleh dikenali dengan beberapa unsur khusus yang mampu membentuk tamadun dan peradaban sesuatu masyarakat selain memperlihatkan sikap dan pandangan pengarangnya. Sastera Melayu mempunyai seni bahasa yang indah dan tersusun. Diksi yang digunakan dapat memberi kesan penghayatan kepada pembaca. Ianya mempamerkan kepakaran dan keahlian seorang pengarang itu untuk meluahkan dan mengungkapkan makna yang difikirkan.  Adunan teknik-teknik yang sesuai dan ketepatan diksi  menjadikan sesebuah karya itu hidup dan bertenaga.  Sastera juga mempunyai unsur tersurat dan tersirat. Sastera tidak terhasil dengan  kekosongan dan ianya terhasil atas dorongan tertentu dengan menggunakan sumber-sumber yang terdapat di persekitaran. Namun tidak semua lambang yang tersurat itu memberi erti apa yang tersirat. Akan wujud makna-makna simbolik di sebalik kata-kata yang diungkapkan.

1.2  Ciri Kesusasteraan

Penyebaran secara lisan kesusasteraan Melayu ini masih dikekalkan walaupun ada sesetengah bahan kesusasteraan rakyat telah diterbitkan dalam bentuk tulisan, namun asal bahan tersebut tersebar dikalangan masyarakat menerusi. Ada juga hasil yang masih lagi tersebar secara lisan hingga kini walaupun sebahagian ceritanya telah dibukukan. Oleh sebab disebarkan secara lisan, unsur tokok-tambah tidak dapat dielakkan , sehinggakan apa-apa yang dituturkan itu sudah menjadi satu versi yang tersendiri. Oleh sebab kesusasteraan rakyat wujud dalam bentuk tokok-tambah oleh penutur dan pendukungnya, karya tersebut sudah menjadi milik bersama masyarakatnya. Kesusasteraan rakyat yang menjadi milik bersama masyarakat secara tidak langsung juga menggambarkan segala pemikiran, perasaan, nilai dan falsafah hidup masyarakatnya. Penyataan tersebut mungkin dilahirkan secara terus terang atau secara tersirat.
Oleh sebab kesusasteraan rakyat wujud dan berkembang melalui media lisan, penutur biasanya tidak berkesempatan menapis apa-apa yang dituturkan ketika berhadapan dengan pendengar atau khalayak. Oleh itu, sifatnya cukup sederhana dan seadanya, terlalu spontan dan kadangkala kelihatan kasar. Kesusasteraan rakyat juga wujud dalam bentuk tradisi tekal. Cerita mitos pula merupakan cerita tentang asal usul kepercayaan sesuatu masyarakat. Dengan itu, klasifikasi kesusasteraan rakyat adalah berdasarkan formula dan pola yang tertentu. Kesusasteraan rakyat juga bersifat pralogis, iaitu mempunyai logika yang tersendiri yang mungkin tidak sesuai dengan logika umum. Oleh itu, pandangan dan tanggapan masyarakat lain tidak penting kepada pertumbuhan dan perkembangan kesusasteraan rakyat sesuatu masyarakat. Kesusasteraan rakyat juga mempunyai kegunaan dalam kehidupan bersama sesuatu masyarakat. 

1.3  Jenis dan Bentuk Kesusasteraan

Jenis dan bentuk kesusasteraan berbeza-beza kerana masing-masing memiliki unsur-unsur khusus yang membentuk pola secara berbeza untuk tujuan yang tertentu pula. Seperti yang telah disebut sebelum ini, karya sastera sebagai hasil seni mempunyai tiga ciri utama, iaitu bersifat imaginasi, adanya nilai-nilai seni dan kreativiti serta nilai estetik dari segi penggunaan bahasa. Dari segi jenis dan bentuk kesusasteraan Melayu itu sendiri, ia dapat digolongkan kepada tiga kategori utama, iaitu kesusasteraan Melayu tradisional, kesusasteraan Melayu klasik dan kesusasteraan Melayu moden.

1.3.1      Pantun
Pantun merupakan puisi tradisional Melayu yang paling popular. Hal ini disebabkan oleh sifatnya yang asli. Keaslian yang dimaksudkan adalah kerana pantun hanya dijumpai pada bangsa Melayu Nusantara sahaja. Sejak orang Melayu belum tahu menulis surat lagi, mereka telah pun pandai berpantun dan kerap berbalas pantun sesama mereka. Contoh pantun yang dipilih ialah Pantun Mari Membaca.

Bunga melur dalam jambangan,
Di tepi kolam menjadi hiasan.
Kucipta pantun buat renungan,
Semarak Nilam empunya wawasan.

Dua baris maksud menggambarkan penulis menuliis pantun ini adalah untuk mengajak pembaca tentang pentingnya budaya membaca. Seterusnya ialah program NILAM merupaka program Nadi Ilmu Amalan Membaca menitikberatkan budaya membaca. Menerusi pantun ini, dua baris maksud ini dapatlah disimpulkan bahawa program NILAM ini mempunyai hala tuju dan dapat memupuk amalan membaca dalam kalangan rakyat Malaysia
Manakala pada bahagian pembayangnya pula, berkemungkinan bunga melur penulis menjadikan hiasan dan diletakkan ditepi kolam.

Mekar sejambak bunga gubahan,
Jatuh sekuntum di atas peti,
Membaca itu suruhan Tuhan,
Al-alaq diturun menjadi bukti.

Maksud dua baris dalam rangkap diatas ialah penulis memberitahu pembaca bahawa membaca itu ialah menjadi suruhan Tuhan supaya menuntut ilmu dengan membaca. Penulis juga menyatakan surah dalam Al-Quran iaitu surah Al-Alaq yang telah diturunkan oleh Allah S.W.T yang menuntut manusia supaya membaca. Dapat disimpulkan bahawa dalam agama Islam dan telah dinyatakan dalam Al-Quran yang menyuruh manusia supaya membaca.
            Manakala, pada bahagian pembayangnya pula, bunga melur yang dijadikan hiasan oleh penulis  mekar kesemuanya dan dijadikan bunga gubahan. Sekuntum bunga melur yang mekar tersebut jatuh di atas peti.

Cerana kesumba indah melati,
Cantik tersemat dambaan puteri,
Ilmu ditimba sepenuh hati,
Kekuatan umat minda bestari.

Penulis menyeru kepada pembaca supaya bacalah dan timbalah ilmu sepenuh hati supaya ilmu yang diperolehi itu mampu disampaikan kepada orang lain. Seterusnya, penulis turut menyatakan bahawa kekuatan seseorang itu terletak pada mindanya yang cerdas. Dapat disimpulkan bahawa ilmu diperolehi sekiranya hati pembaca itu ikhlas inginkan sesuatu ilmu dan dengan membaca juga membolehkan minda seseorang pembaca itu cerdas.
            Manakala pada dua baris pembayang pula penulis berkemungkinan melihat bunga melati yang cantik dan anak perempuannya menyelit ditepi telinga untuk menjadi hiasan.

Harum sungguh bunga kemboja,
Bunga karangan cantik tersemat,
Janganlah membaca kulit sahaja,
Telitilah kandungan sehingga tamat.

Penulis mengarang dua baris maksud adalah untuk memberitahu pembaca supaya tidak membaca tajuk buku sahaja kerana tajuk sesebuah buku itu tidak menceritakan keseluruhan cerita buku tersebut, tetapi bacalah isi kandungannya juga kerana kita dapat memahami dan memperolehi isi yang berguna. Dapat disimpulkan keseluruhan cerita dapat diketahui dengan membaca keseluruhan buku tersebut bukannya hanya menilai kulit buku tersebut.
            Manakala pada dua baris pembayangnya pula berkemungkinan penulis menghidu haruman bunga kemboja di taman rumah penulis dan penulis mungkin menjadikan bunga kemboja sebagai bunga gubahan yang cantik tersemat.

Mekar angsana pandang tak jemu,
Bunganya luruh ke dalam raga,
Buku laksana lautan ilmu,      
Dasarnya penuh mutiara berharga.

Penulis mengarang dua baris maksud bagi menanam sikap membaca dalam kalangan masyarakat bahawa segala ilmu yang ingin diperolehi terdapat dalam buku. Ilmu yang terdapat dalam buku penulis ibaratkan dipenuhi dengan mutiara yang berharga. Dapat disimpulkan bahawa ilmu itu sangat berharga dan sekiranya tidak membaca, sesorang itu boleh dianggap terlepas sesuatu yang sangat berharga.
            Manakala pada dua baris pembayang pula dapat menggambarkan bahawa penulis berada ditaman dan terpandang bunga angsana yang membuatkan pandangan penulis tidak jemu menlihat bunga tersebut dan bunga-bunga angsana yang mekar itu gugur di dalam raga yang diletakkan dibawah pokok tersebut.

Daun nipah kajangnya rapat,
Hidangan tetamu di Kuala Maran,
Buku menyimpan berjuta maklumat,
Fakta, ilmu, cereka hiburan.

Dua baris maksud penulis cuba menyampaikan kepada pembaca bahawa buku menyimpan jutaan maklumat yang terdiri dalam pelbagai bentuk termasuklah fakta, ilmu dan juga berbentuk hiburan. Dapat disimpulkan bahawa buku bukanlah mengandungi bahan rujukan atau ilmu sahaja tetapi turut terdapat hiburan.
            Pada bahagian pembayang pula penulis disajikan dengan hiasan dari daun nipah yang menjadi tatapan kepada tetamu sekiranya berkunjung ke Kuala Maran.

Anak muda pulang ke desa,
Ibu dan ayah lama menanti,
Warga membaca tak buang masa,
Khutub khanah teman sejati.

Maksud dua baris dalam rangkap diatas adalah untuk memberitahu pembaca bahawa aktiviti atau hobi membaca bukanlah sesuatu yang membuang masa malah menjadi teman yang sejati. Dapat disimpulkan bahawa membaca merupakan satu aktiviti yang berfaedah bukanlah sesuatu yang sia-sia.
            Dua baris pembayang berkemungkinan penulis melihat anak-anak muda mula pulang ke kampong halaman dan ibu dan ayah telah lama menanti kepulangan anak-anak mereka.


Pohon pedada di dalam taman,
Jadi idaman si anak rusa,
Marilah anakanda marilah teman,
Kita membaca sepanjang masa.

Dalam rangkap ini, dua baris maksud penulis mengajak anak-anak muda untuk menjadikan amalan membaca sebagai amalan harian. Hal ini menunjukkan bahawa amalan membaca dalam kalangan anak-anak muda masih kurang menarik perhatian mereka.
            Pembayangnya pula penulis menggambarkan mengenai pohon pedada di dalam taman yang menjadi makanan kepada anak rusa.

Meniti senja biasan mentari,
Merkah setitis menjelang kabut,
Bacalah baca setiap hari,
Tak akan habis ilmu dituntut.

Maksud dalam rangkap ini penulis menyeru supaya membacalah pada setiap hari kerana ilmu itu masih banyak dan tidak pernah habis ilmu yang diinginkan. Hal ini menunjukkan bahawa ilmu itu terlalu banyak dan menyeru supaya mendapatkan sebanyak mungkin ilmu di dunia ini.
            Dua baris pembayang mengambarkan penulis menikmati suasana petang yang dihiasi oleh hiasan mentari di langit dan semakin menghilang.

Cantik sungguh si bunga kejora,
Buat hiasan di hari raya,
Marilah sahut seruan negara,
Bangsa membaca bangsa berjaya.

Penulis juga mengajak pembaca dalam rangkap ini untuk menyahut seruan kerajaan yang menjalankan program NILAM bagi membantu memupuk amalan membaca. Penulis juga menyatakan bahawa bangsa membaca ialah bangsa yang Berjaya kerana banyak ilmu yang diperolehi.
Baris pembayang pada rangkap terakhir ini berkemungkinan semasa penulis melihat senja melabuhkan tirainya, mata penulis menangkap bunga kejora yang begitu cantik dan boleh dijadikan hiasan semasa hari raya.

1.4  Fungsi sastera


Sastera berfungsi sebagai medium hiburan masyarakat zaman dahulu bagi memenuhi masa lapang setelah penat bekerja disiang hari. Selain itu juga, sastera turut berfungsi untuk mendidik, menyindir, menyatakan perasaan dan menyampaikan buah fikiran. Sastera pada dahulunya disampaikan secara lisan dan pada hari ini, banyak bahan sastera telah dibukukan bagi memudahkan lagi untuk disampaikan sesuai dengan arus pemodenan.